Vaksin kanak-kanak mungkin disedia mulai Jan, 'booster' boleh diambil dalam 5 bulan
Vaksin kanak-kanak mungkin disedia mulai Jan, 'booster' boleh diambil dalam 5 bulan

VAKSIN Covid-19 bagi kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun diharap boleh tersedia Januari depan, kata Pengarah khidmat perubatan Singapura, Profesor Madya Kenneth Mak sewaktu sidang akhbar Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian semalam.
Beliau berkata demikian sedang Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung mengumumkan mereka yang telah melengkapkan rejim dua dos vaksin utama Covid-19 kini layak menerima suntikan penggalak Covid-19 dalam tempoh lima bulan berbanding enam bulan sekarang.
Profesor Mak berkata:
"Kami terus bekerjasama dengan Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi Covid-19 untuk melanjutkan program nasional bagi melindungi kanak-kanak antara lima hingga 11 tahun, demi "mengurangkan risiko mereka dijangkiti dan menerima hasil yang buruk".
Profesor Mak berkata Kementerian Kesihatan (MOH) sedang bekerjasama dengan Pfizer bagi kelulusan kawal selia yang diperlukan bagi vaksin pediatrik.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata terdapat trend kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang dijangkiti, yang menyumbang 11.2 peratus daripada semua kes dalam perangkaan MOH Jumaat lalu.
Secara perbandingan, jangkitan di kalangan kanak-kanak hanya membentuk 6.7 peratus daripada semua kes beberapa minggu lalu, katanya.
"Kanak-kanak ini kekal terdedah kerana mereka belum layak menerima vaksin yang melindungi diri mereka daripada jangkitan dan secara amnya lebih sukar memaksa mereka mematuhi pemakaian pelitup dan langkah pengurusan yang selamat," tambahnya.
Profesor Mak mengulangi bahawa walaupun kebanyakan jangkitan adalah jangkitan ringan, sebilangan kecil kanak-kanak memerlukan jagaan di unit rawatan rapi kanak-kanak kerana jangkitan teruk atau komplikasi yang timbul daripada jangkitan itu.
Profesor Mak menambah, bahawa MOH akan terus memantau pengalaman negara-negara lain yang telah pun memulakan vaksinasi bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, untuk lebih memahami profil keselamatan bagi perumusan pediatrik.
Di Amerika Syarikat, lebih daripada 2.6 juta kanak-kanak di bawah umur 12 tahun telah menerima dos pertama mereka, jelasnya lagi.
"Lantas tidak lama lagi kami akan mempunyai data dunia sebenar yang kukuh mengenai profil keselamatan vaksin bagi kanak-kanak, yang akan memberi kami keyakinan lebih besar bahawa vaksin Covid-19 adalah selamat untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dalam melindungi mereka daripada jangkitan Covid-19," tambahnya lagi.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkata langkah memendekkan tempoh suntikan penggalak bermakna separuh penduduk Singapura akan menerima dos penggalak menjelang akhir tahun ini.
Encik Ong berkata Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi Covid-19 menyarankan agar tempoh pemberian dos penggalak diseragamkan kepada lima bulan untuk semua peringkat umur.
"Lantas dengan perubahan ini, dari sekarang hingga akhir Disember, kami berharap untuk memberi kira-kira 1.5 juta dos penggalak," kata Encik Ong lagi.
"Selain itu, dengan memberi perlindungan lebih luas daripada 21 peratus penduduk kepada kira-kira 50 peratus... bermakna menjelang akhir tahun, separuh daripada penduduk akan menerima rangsangan dari segi tahap antibodi yang tinggi," tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa dos penggalak merupakan satu kemestian, berikutan varian Delta yang kini lebih dominan.
"Pada satu ketika, kita memerlukan setiap orang yang mempunyai dua dos vaksin untuk mendapatkan dos ketiga, seperti dengan varian Delta, kini terdapat pandangan di kalangan masyarakat klinikal dan saintifik bahawa (vaksin Covid-19) adalah vaksin tiga dos, seperti juga Hepatitis B."

