
PENGUASA Sains Kesihatan (HSA) telah memberikan kelulusan bagi vaksin Covid-19 oleh syarikat Novavax dari Amerika Syarikat untuk digunakan bagi individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Ia merupakan vaksin bukan mRNA yang diterima sebagai alternatif kepada suntikan penggalak.
HSA telah memberikan pengesahan sementara untuk vaksin Novavax yang dihasilkan dengan nama Nuvaxovid pada 3 Februari lalu di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR).
Rejimen vaksinasi itu terdiri dari dua dos 5mcg Nuvaxovid untuk diberikan selang tiga minggu.
Kumpulan pertama Nuvaxovid dijangka tiba di Singapura dalam beberapa bulan akan datang.
Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi Covid-19 menyarankan Nuvaxovid sebagai alternatif yang boleh diterima bagi vaksin mRNA yang ketika ini digunakan bagi suntikan dos penggalak bagi mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas.
Satu dos disarankan bagi dos penggalak sekitar lima bulan selepas dos terakhir siri vaksinasi utama, ujar jawatankuasa itu dalam kenyataannya semalam.
HSA berkata ia telah menyemak bahawa vaksin itu dan ia memenuhi mutu, keselamatan dan keberkesanan, dan manfaatnya melebihi risiko bagi penduduk Singapura.
Dua kumpulan pakar dari Jawatankuasa Penasihat Perubatan dan Panel Pakar Penyakit Berjangkit juga telah dirunding dan mereka setuju dengan cadangan HSA.
HSA berkata semakannya berdasarkan dua fasa tiga pengajian klinikal yang dijalankan di Amerika Syarikat, Mexico dan Britain, terdiri daripada lebih 40,000 peserta berusia antara 18 dengan 95 tahun.
Keputusannya menunjukkan bahawa Nuvaxovid memaparkan keberkesanan vaksin dengan sekitar 90 peratus menentang simptom Covid-19 dan 100 peratus mencegah Covid-19 yang teruk.
Ia menunjukkan keberkesanan yang konsisten terhadap varian Alpha, tetapi tiada data terhadap Delta dan Omicron, kerana varian ini tidak tersebar luas ketika menjalani ujian klinikal, kata HSA.
Jawatankuasa itu menambah Nuvaxovid dipilih berbanding vaksin Sinovac China bagi mereka yang tidak sesuai mendapat suntikan mRNA. Ini disebabkan keberkesanan Sinovac yang rendah.
"Sinovac-CoronaVac harus digunakan hanya oleh mereka yang tidak boleh mendapatkan vaksin mRNA dan Nuvaxovid,'' ujar jawatankuasa iru.
Seperti semua vaksin, HSA menyatakan terdapat segelintir orang yang akan mendapat kesan sampingan seperti mereka yang mempunyai rekod sejarah alahan teruk (anafilaksis). Dalam kes ini, mereka harus segera mendapat rawatan doktor.
"Adanya Nuvaxovid menawarkan mereka yang tidak layak mendapat vaksin mRNA satu alternatif bagi mendapat perlindungan vaksin dari Covid-19. Jawatankuasa menggalak semua yang layak mendapat suntikan dan mendapat dos penggalak pada waktu terawal,'' ujar jawatankuasa itu.
Vaksin Novavax ialah vaksin berasaskan protein atau subunit, tidak seperti vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan vaksin Moderna, yang merupakan vaksin mRNA.
Vaksin berasaskan teknologi mRNA menggunakan bahan dari virus itu untuk mendidik sel-sel badan membuat salinan protein unik terhadap virus, dan ini membina daya tahan terhadapnya.
Sebaliknya, vaksin berdasarkan protein merangkumi kepingan virus. Apabila seseorang divaksinasi, badan mereka menyedari bahawa protein itu tidak sepatutnya berada di tempat itu langsung mencipta antibodi untuk melawannya.
Vaksin Novavax mendidik sistem imun badan untuk mencipta antibodi yang melawan protein koronavirus, yang digunakan untuk memasuki sel manusia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg