SUNTIKAN bagi vaksin Sinovac diberikan di beberapa klinik swasta semalam selepas pihak berkuasa memberi kelulusan bagi 24 klinik menggunakan stok pemerintah.
Oleh kerana permintaan yang banyak bagi mereka yang ingin mendapatkan vaksin Sinovac, masa menunggu bagi mereka yang sudah mendaftar boleh sampai dua minggu atau lebih berdasarkan beberapa klinik yang dihubungi The Straits Times (ST).
Vaksin Sinovac dari China itu tidak termasuk dalam program suntikan kebangsaan Singapura.
Ketika ini, ia hanya disediakan di bawah Akses Khusus (SAR) di bawah Penguasa Sains Kesihatan (HSA).
Beberapa klinik menyatakan mereka menerima banyak pertanyaan dari mereka yang ingin mendapat suntikan Sinovac.
Seorang jurucakap Rophi Clinic menerima ribuan mereka yang melahirkan minat mendapatkan suntikan itu dan semua slot telah habis ditempah. Ia memberikan 20 suntikan tengah hari semalam.
Seorang pembantu klinik di iCare Medical and Wellness Clinic berkata ia menerima terlalu banyak panggilan dari mereka yang menanyakan mengenai Sinovac.
Icon Cancer Centre Farrer Park juga menerima banyak panggilan.
"Kami menerima banyak panggilan... ratusan... mungkin dalam beberapa jam pagi tadi,'' kata ketua eksekutifnya Cik Serena Wee kepada ST kelmarin.
Sementara itu, para pemegang polisi yang memiliki insurans Pelan Shield Bersepadu (IP) akan mendapat perlindungan jika mereka dirawat di hospital disebabkan komplikasi dari vaksin Covid-19.
Ini bermakna perlindungan insurans itu akan merangkumi mereka yang menerima vaksin Sinovac.
Persatuan Insurans Hayat (LIA) Singapura menyatakan bahawa kesemua tujuh firma insurans menawarkan perlindungan itu.
Sebelum ini, LIA menyatakan bahawa pemilik insurans IP akan dilindungi jika dirawat di hospital disebabkan komplikasi suntikan diluluskan HSA iaitu Pfizer-BioNTech dan Moderna.
Perlindungan khas itu, termasuk di bawah SAR, akan disediakan sehingga akhir tahun ini, kata LIA.
Persatuan itu akan memantau keadaan Covid-19 dan menimbangkan jika perlu melanjutkan perlindungan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg