SEKITAR 60 peratus individu berusia 18 tahun dan ke atas sudah mencapai status terkini vaksinasi mereka sehingga 31 Disember lalu, kata Menteri Kesihatan Encik Ong Ye Kung di Parlimen semalam, sambil menggesa agar lebih ramai orang mendapatkan vaksin Covid-19.
Menyampaikan kenyataan Kementeriannya, Encik Ong, menjawab pertanyaan yang disampaikan orang ramai berkenaan bila vaksinasi akan berhenti daripada diberikan kepada penduduk, beliau berkata, sejujurnya vaksinasi Covid-19 telah menjadi normal baru.
Menyifatkan Covid-19 sebagai penyakit endemik seperti flu, pengambilan vaksin digalak setiap tahun agar dapat mengelakkan daripada mencatatkan bilangan kematian tinggi.
"Covid-19 juga menuju ke arah yang sama. Keadaan semasa yang mana kami rasa terancam oleh bilangan jangkitan yang meningkat di sekeliling kami adalah satu tanda jelas bahawa vaksinasi perlu menjadi sesuatu yang penting terhadap pertahanan kami daripada endemik Covid-19," kata Encik Ong, merujuk kepada keadaan semasa menyusuli pembukaan semula sempadan China baru-baru ini.
"Gelombang jangkitan baru bakal berlaku di Singapura dalam masa demi masa dan berlaku sekali lagi apabila varian baru yang berupaya mengelak daripada keimunan muncul dan perlindungan dari vaksin dan jangkitan terdahulu berkurangan serta kadar jangkitan semula pula meningkat," kata Encik Ong lagi.
Beliau berkata pertahanan terbaik yang mana setiap individu dapat memainkan peranan adalah untuk mempunyai status vaksinasi terkini.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) seseorang itu dianggap mempunyai status vaksinasi terkini jika mereka memperoleh tahap perlindungan minimal dan dos vaksin terkini diambil dalam tempoh setahun yang lalu.
Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar) telah bertanya kepada Encik Ong jika kadar pengambilan suntikan penggalak bivalen vaksin Covid-19 antara golongan warga emas dan berisiko tinggi mencukupi, memandangkan ia bukan sesuatu yang diwajibkan MOH.
Beliau bertanya jika langkah komunikasi terhadap penduduk telah dirancangkan MOH untuk menggalak mereka mendapatkan suntikan penggalak bivalen itu memandangkan ada laporan yang diterbit berkenaan subvarian Covid-19 yang lebih mudah merebak.
Encik Ong berkata pendirian Singapura terhadap vaksinasi kekal dianggap sebagai satu pilihan dan bukan sesuatu kewajipan, namun disebabkan kerjasama dan "kesedaran sosial" yang diamalkan penduduk di sini, Singapura telah mencapai kadar vaksinasi tinggi.
Beliau menggesa agar memberi perhatian terhadap kadar status vaksinasi terkini berbanding kadar mereka yang mengambil suntikan bivalen.
Encik Ong berkata dalam kalangan daripada bilangan 60 peratus seluruh populasi Singapura yang mencapai status vaksinasi terkini, sebanyak 67 peratus atau hampir 70 peratus golongan yang berusia 80 tahun dan ke atas telah mencapai status vaksinasi berkenaan.
"Ini sesuatu yang menggalakkan," kata Encik Ong.
Beliau juga mendedahkan kadar pengambilan suntikan bivalen kini berada dalam 13,000 suntikan setiap hari dan beliau menyifatkannya sebagai bilangan yang "sihat"
Bagi menggalak lebih ramai penduduk mengambil suntikan penggalak itu, Encik Ong berkata pihaknya akan teruskan langkah yang berhasil; iaitu pertama, memastikan pusat vaksinasi, seperti pusat ujian dan vaksinasi bersama (JTVC) kekal mudah diakses orang ramai dan tanpa memerlukan tempahan janji temu.
Kedua, bagi golongan warga emas, pasukan mudah alih akan melawati kawasan kejiranan agar mereka dapat mendapatkan vaksin dekat kejiranan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg