Genap setahun selepas pasukan bertindak berbilang kementerian ditubuhkan untuk menangani virus Covid-19, dunia termasuk Singapura telah melalui banyak perubahan dan mengharungi pelbagai cabaran dalam berhadapan dengan koronavirus itu. Sehari selepas pasukan itu dibentuk, kes pertama jangkitan disahkan di Singapura pada 23 Januari 2020. Sempena ulang tahun pertama pasukan bertindak itu, dua pengerusi bersamanya - Menteri Pendidikan Lawrence Wong dan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong - menyingkap usaha mereka sepanjang setahun lalu serta pelbagai cabaran yang dihadapi dalam satu wawancara baru-baru ini. Mereka turut membentangkan rancangan seterusnya dalam mengajak Singapura terus bersatu dan berjaga-jaga menghadapi krisis ini.
PEMERINTAH akan menawarkan vaksin Covid-19 yang diperolehinya secepat mungkin dan tidak akan menahan atau mencatu bekalan itu.
Menggariskan strategi program vaksin Covid-19 negara ini, Menteri Pendidikan Lawrence Wong berkata kepentingan Singapura kini ialah untuk memastikan seberapa ramai orang mungkin boleh mendapatkan vaksin itu secepat boleh.
Tambahnya, Singapura mempunyai rancangan menawarkan vaksin itu kepada semua orang menjelang suku ketiga tahun ini.
"Bagi mereka yang memilih untuk tidak mendapatkannya, ini pilihan mereka, tetapi kami akan tetap menawarkan dan memberikan vaksin itu.
"Dan jika mereka mahu tunggu, mereka harus menerima akibatnya bahawa mungkin tiada bekalan sedia ada apabila mereka ingin mendapatkannya nanti," ujar Encik Wong yang mempengerusikan pasukan bertindak berbilang kementerian bersama Menteri Kesihatan Gan Kim Yong bagi menangani penularan Covid-19.
Encik Gan berkata program vaksin Covid-19 di sini akan dilancar sejajar dengan bekalan vaksin yang diterima.
Sedang program vaksin bagi pekerja penjagaan kesihatan kini masih berlangsung, program vaksin bagi pekerja barisan depan dalam sektor penerbangan dan maritim sudah rasmi bermula minggu ini.
Dengan tidak menunggu satu program vaksin untuk selesai sebelum memulakan program bagi golongan lain, Encik Gan berkata Singapura sedang memperluas keupayaan dan skop vaksin Covid-19 negara ini secara bertahap.
Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini dilaporkan ingin melantik vendor untuk menubuhkan 36 pusat vaksin Covid-19 mulai bulan depan yang berupaya memberi vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 2,000 orang sehari.
Vendor yang dipilih juga akan membentuk 10 pasukan bergerak untuk memberikan vaksinasi beramai-ramai di premis tertentu seperti di rumah rawatan.
Dalam satu wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama pasukan bertindak berbilang kementerian yang dipengerusikan bersama Encik Gan dan Encik Wong itu, mereka antara lain membentangkan keutamaan pasukan itu bagi tahun ini.
Ini termasuk mempercepat program vaksin Covid-19 di sini sementara terus berjaga-jaga serta sentiasa menyemak langkah dan perlindungan yang dilaksana dan membuat penyesuaian jika perlu.
Menurut Encik Gan, terdapat peluang bagi mereka meningkatkan usaha mendekati orang ramai dan menangani keprihatinan mereka tentang vaksin yang baru ini.
Kini, hanya vaksin Pfizer-BioNTech yang diluluskan digunakan di Singapura dan kumpulan pertama vaksin itu tiba di sini pada 21 Disember lalu.
"Dengan jumlah kes Covid-19 di Singapura rendah sekarang, sesetengah orang mungkin bertanggapan... mereka tidak memerlukan vaksin itu.
"Namun, jumlah kes di negara lain masih meningkat, dengan kes dan rekod baru dicatat hampir setiap hari.
"Oleh itu, adalah penting kita kekal berwaspada dan mempersiap diri untuk memastikan kita dapat menentang gelombang jangkitan seterusnya," ujar Encik Gan.
Tambahnya, terdapat pelbagai langkah berjaga-jaga yang diambil bagi memastikan vaksinasi itu diberi dengan selamat dan pemerintah akan terus memantau serta memberi mereka maklumat terkini secara kerap.
Bagi warga emas, beliau berkata usaha juga akan dijalankan bagi melawat mereka di rumah untuk menerangkan tentang vaksin itu serta membantu mereka membuat tempahan baginya apabila tiba giliran mereka.
Pemerintah juga sedang mengkaji data sejauh mana vaksin itu mampu membantu mengurangkan risiko jangkitan.
"Kami tahu ia dapat membantu melindungi individu yang divaksinasi daripada kesan serius penyakit itu tetapi kami tidak tahu sejauh mana vaksin itu dapat mengurangkan risiko jangkitan virus itu," ujar Encik Wong.
Namun, sekiranya data menunjukkan bahawa risiko jangkitan dapat dikurangkan dengan vaksin itu, beliau berkata individu yang telah divaksinasi dan ingin keluar negara boleh menjangkakan tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) lebih pendek atau terus ditiadakan.
Bagi pekerja yang perlu menjalani ujian rutin Covid-19 pula, pemerintah mungkin melonggarkan keperluan ujian atau terus meniadakannya.
Dengan sejumlah besar orang di Singapura divaksinasi, Encik Wong berkata pemerintah juga boleh mempertimbang melonggarkan sesetengah langkah pengurusan selamat.
KONGSI PENDIRIAN
"Bagi mereka yang memilih untuk tidak mendapatkannya, ini pilihan mereka, tetapi kami akan tetap menawarkan dan memberikan vaksin itu. Dan jika mereka mahu tunggu, mereka harus menerima akibatnya bahawa mungkin tiada bekalan sedia ada apabila mereka ingin mendapatkannya nanti." - Encik Lawrence Wong, Menteri Pendidikan, yang mempengerusikan pasukan bertindak berbilang kementerian bersama Menteri Kesihatan Gan Kim Yong bagi menangani penularan Covid-19.
"Dengan jumlah kes Covid-19 di Singapura rendah sekarang, sesetengah orang mungkin bertanggapan... mereka tidak memerlukan vaksin itu. Namun, jumlah kes di negara lain masih meningkat, dengan kes dan rekod baru dicatat hampir setiap hari. Oleh itu, adalah penting kita kekal berwaspada dan mempersiap diri untuk memastikan kita dapat menentang gelombang jangkitan." - Encik Gan Kim Yong, Menteri Kesihatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg