VAKSINASI merupakan strategi penting dalam mengukuhkan daya pertahanan Singapura mengharungi pandemik Covid-19.
Perlindungan tambahan ini dapat membantu memastikan aktiviti masyarakat dan juga ekonomi dapat diteruskan seperti biasa secepat mungkin.
Menekankan demikian semasa bertemu pihak media di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID) semalam, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata vaksin tersebut merupakan tambahan terhadap langkah-langkah lain yang telah dikuatkuasakan Singapura dalam menghadapi virus itu seperti jarak selamat dan pemeriksaan secara kerap bagi golongan tertentu.
Walaupun kes jangkitan di Singapura kekal rendah, beliau menggesa warga Singapura untuk mendapatkan vaksin itu demi memastikan tahap perlindungan yang lebih meluas.
"Hanya satu jangkitan boleh menyebabkan wabak itu meluas, dan kita tak tahu bila ini akan terjadi.
"Vaksinasi akan bantu membina daya tahan Singapura dalam menghadapi jangkitan-jangkitan akan datang.
"Ia juga akan membantu kita terus memastikan keadaan kembali seperti biasa dalam masyarakat dan juga ekonomi, dan ini amat penting," katanya.
Tambahnya, hanya apabila semua anggota masyarakat menerima vaksin tersebut, barulah Singapura sebagai satu negara akan terlindung daripada jangkitan.
Sementara itu, vaksinasi juga dapat memastikan sistem kesihatan di Singapura tidak terlalu dibebani kes-kes jangkitan Covid-19.
"Kakitangan penjagaan kesihatan kita telah bekerja keras selama hampir setahun untuk menjaga orang tersayang kita yang dijangkiti Covid- 19.
"Kita boleh memainkan peranan dengan mendapatkan vaksin ini supaya kita dapat mengurangkan risiko jangkitan dan mengurangkan beban yang dipikul kakitangan penjagaan kesihatan," katanya.
Encik Gan turut menekankan pentingnya Singapura untuk kekal terhubung dengan negara-negara lain dan vaksinasi yang kini tersedia dapat membantu mencapai matlamat tersebut.
Menurutnya, pergerakan antarabangsa terhenti disebabkan sempadan yang ditutup demi mengawal jangkitan.
Vaksin ini membolehkan laluan pergerakan tersebut untuk dibuka semula dan menghubungkan Singapura dengan negara lain.
Namun beliau menekankan ini tidak bermakna Singapura akan membuka sempadannya tanpa disertakan dengan langkah berjaga-jaga lain.
"Sama ada sekatan perjalanan akan dilonggarkan bergantung kepada beberapa faktor, bukan sahaja vaksinasi. Ia juga bergantung kepada langkah keselamatan yang diambil negara yang ingin dikunjungi.
"Banyak langkah yang perlu dikuatkuasakan bersama. Vaksinasi sahaja tidak membolehkan kita membuka sempadan begitu sahaja dan melupakan langkah-langkah jarak selamat," katanya.
Beliau menambah ini perlu dipertimbangkan berdasarkan negara berbeza.
Singapura telah memulakan langkah memberi vaksin kepada pekerja penjagaan kesihatan semalam, bermula dengan kakitangan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Lebih 30 kakitangan dari bidang berbeza termasuk klinik, jururawat dan pentadbiran telah menerima vaksin itu.
Vaksin tersebut memerlukan dua suntikan - suntikan kedua akan diberikan 21 hari kemudian.
Golongan pekerja barisan depan seperti pekerja penjagaan kesihatan merupakan yang pertama untuk mendapat vaksin itu.
Penduduk Singapura berusia 70 tahun ke atas dijangka menerima vaksin mulai Februari depan dan disusuli dengan warga dan penduduk jangka panjang yang layak dari sudut perubatan.
Ini adalah sejajar dengan saranan oleh sebuah jawatankuasa pakar bahawa golongan pekerja barisan hadapan dan penjagaan kesihatan serta mereka yang mudah terdedah kepada komplikasi teruk, jika menjangkiti Covid-19, harus diberi vaksinasi dahulu.
DEMI PASTIKAN KITA DAN ORANG-ORANG TERSAYANG KEKAL SIHAT, SELAMAT
"Kami mula memberikan vaksin Covid-19 hari ini (semalam) dengan lebih 30 kakitangan penjagaan kesihatan di Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID). Ini merupakan babak baru dalam menghadapi pandemik ini. Dalam minggu-minggu selepas ini, vaksin ini akan diberikan kepada lebih banyak institusi penjagaan kesihatan. Kami akan memberikan vaksin kepada golongan warga emas mulai Februari, dan kemudian kepada warga Singapura lain dan penduduk jangka panjang yang layak menerimanya. Vaksin ini penting dalam kehidupan kita di tengah-tengah dunia Covid-19... masih lama lagi untuk situasi ini akan kembali seperti biasa. Sementara itu, kita perlu terus berwaspada dan memastikan kita dan orang-orang tersayang terus sihat dan selamat." - Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam posnya di Facebook semalam.
"Hanya satu jangkitan boleh menyebabkan wabak itu meluas, dan kita tak tahu bila ini akan terjadi. Vaksinasi akan bantu membina daya tahan Singapura dalam menghadapi jangkitan-jangkitan akan datang. Ia juga akan membantu kita terus memastikan keadaan kembali seperti biasa dalam masyarakat dan juga ekonomi, dan ini amat penting." - Menteri Kesihatan, Encik Gan Kim Yong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg