
SINGAPURA akan memulakan langkah memberi vaksin kepada pekerja penjagaan kesihatan mulai lusa, bermula dengan kakitangan Pusat Nasional Bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
Ini setelah pemerintah menerima sepenuhnya saranan Jawatankuasa Pakar Vaksinasi Covid-19 tentang strategi vaksinasi Covid-19 di Singapura, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya semalam.
Menurut MOH, kakitangan institusi penjagaan kesihatan awam dan hospital swasta serta warga emas akan diberi keutamaan dalam pelan vaksinasi Singapura.
Vaksinasi bagi warga emas berusia 70 tahun dan ke atas bermula Februari 2021 dengan diikuti vaksinasi untuk warga Singapura lain dan penduduk jangka panjang, kata MOH.
Vaksin itu akan diberikan secara percuma dengan perincian lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.
Menurut MOH, jawatankuasa pakar telah menyerahkan saranan, termasuk tentang penggunaan Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, kepada pemerintah Rabu lalu.
Antara lain, jawatankuasa itu menyarankan agar vaksinasi diutamakan bagi mereka yang berisiko dijangkiti Covid-19 seperti pekerja penjagaan kesihatan serta mereka yang paling terdedah kepada komplikasi dan penyakit teruk sekiranya dijangkiti Covid-19 seperti warga emas.
"Kami bersetuju dengan Jawatankuasa Pakar bahawa ada keperluan untuk melindungi pekerja yang mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi dalam menyediakan khidmat demi memastikan kelancaran sistem kesihatan kita dan sistem nasional dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit," kata MOH.
Kementerian tersebut menambah golongan warga emas juga perlu dilindungi dari jangkitan kerana ini akan mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) berkaitan virus itu.
Jawatankuasa Pakar telah mendapati vaksin Pfizer-BioNTech sesuai digunakan mereka yang berusia 16 tahun dan ke atas bagi mencegah koronavirus itu.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata vaksin tersebut menunjukkan keberkesanan tinggi sebanyak 95 peratus.
Profil keselamatan vaksin itu juga sejajar dengan piawaian tinggi yang diletakkan bagi vaksin lain yang digunakan dalam imunisasi terhadap penyakit lain.
Jawatankuasa tersebut menyarankan seramai mungkin warga diberi vaksinasi itu agar dapat mengurangkan perkadaran penduduk yang terdedah kepada Covid-19 dan kemungkinan berlaku rantaian penyebaran yang tidak terkawal.
Ini juga dapat melindungi mereka yang buat masa ini tidak sesuai menerima vaksinasi tersebut.
Apabila bekalan vaksin lebih meluas, ia menyarankan agar semua yang menginap di Singapura divaksinasi, namun menekankan ia kekal tidak diwajibkan.
Namun, MOH berkata vaksin itu tidak digalakkan bagi wanita hamil dan individu yang mengalami masalah imuniti sehingga lebih banyak data dapat dikumpulkan.
Jawatankuasa itu dibentuk Oktober lalu untuk memberi saranan kepada pemerintah tentang strategi vaksinasi Covid-19 Singapura, termasuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penggunaan vaksin dalam kumpulan penduduk di sini.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Profesor Madya Benjamin Ong, berkata walaupun Singapura kini mempunyai kadar jangkitan setempat yang rendah, jumlah jangkitan ada kemungkinan boleh meningkat.
"Untuk itu, kita perlu memastikan sebanyak mungkin warga menerima vaksin ini. Kami menggesa semua individu yang layak untuk mendapatkan vaksin ini apabila ia ditawarkan kepada mereka," tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg