SEBUAH syarikat Singapura didapati menjual baju renang dan baju tidur yang memaparkan hiasan ayat-ayat Al-Quran dan kalimah Allah. Ini didedahkan oleh seorang pengguna TikTok, @__abu.toz__, dalam videonya yang sepanjang satu minit. Dalam video itu, pengguna TikTok tersebut telah menunjukkan beberapa baju renang dan baju tidur yang dihiasi ayat-ayat Al-Quran dan kalimah Allah yang menurutnya adalah "tidak menghormati Islam". Pakaian itu dikatakan dijual oleh sebuah syarikat yang pejabatnya terletak di Paya Lebar Road. Apabila Berita Harian memeriksa laman web syarikat itu, paparan pakaian tersebut tidak lagi ditemui.