ENCIK Adam Syah, yang telah memuat naik video beliau memainkan beberapa lagu pop terkenal dengan sebuah piano masyarakat hingga tular, merupakan seorang pemain piano yang tidak menerima kelas secara rasmi.
Beliau juga tidak pernah memiliki alat muzik itu.
Pelajar berusia 21 tahun dan bekerja secara sambilan dengan GrabFood mula bermain piano ketika di sekolah menengah, kerana terdapat satu piano yang tersedia bagi pelajar di foyer.
Bercakap kepada The Straits Times, Encik Adam berkata:
"Oleh kerana piano itu tidak selalu digunakan oleh pelajar lain, saya mendapat peluang untuk menggunakannya setiap hari ketika waktu rehat, jadi saya dapat melatihkan diri memainkan sebarang lagu yang saya ingin pelajari pada ketika itu.
"Saya akan menonton video YouTube untuk belajar kord asas dalam sesebuah lagu dan kemudian cuba memikirkan melodinya sendiri."
Sebelum bermain piano yang disediakan untuk kegunaan awam di kolong Blok 107 Yishun Ring Road itu, Encik Adam belum menyentuh sebuah piano sepanjang sekurang-kurangnya setahun, kata beliau.
Beliau menemui piano itu sewaktu menjalankan tugas memenuhi tempahan penghantaran makanan.
"Saya pergi menghantar makanan kepada pelanggan itu dahulu, kerana saya tidak ingingkan makanan itu menjadi sejuk, dan ketika sedang turun (ke kolong blok) saya memutuskan untuk berehat sebentar dan cuba memainkan satu lagu," kata Adam, seorang pelajar diploma seni halus di Akademi Seni Halus Nanyang.
Video TikTok pertama beliau bermain piano masyarakat itu telah dimuatnaik pada 24 Disember.
Video itu menunjukkan beliau memainkan melody lagu bertajuk 'Rather Be' oleh kumpulan elektronik British, Clean Bandit - dan telah berupaya mencatatkan lebih 160,000 tontonan serta lebih 22,000 'likes'.
Satu lagi video yang mana beliau memainkan melodi lagu hit Ed Sheeran. 'Shape Of You,' pula telah mencatatkan lebih 80,000 tontonan serta lebih 7,000 likes.
Respons yang diterimanya memang dianggab sebagai satu kejutan yang manis buatnya, kata Encik Adam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg