Topik diikuti
Pergi ke BHkuVivian lawat Pakistan pada 30 Okt sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-60
Vivian lawat Pakistan pada 30 Okt sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-60
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, akan mengadakan lawatan rasmi ke Islamabad, Pakistan pada 30 Oktober 2026 atas undangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Senator Mohammad Ishaq Dar.
Dalam satu kenyataan media pada 29 Oktober, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menyatakan bahawa tahun 2026 menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Singapura dengan Pakistan.
Justeru, lawatan Dr Balakrishnan ke Pakistan itu akan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara Singapura dengan Pakistan yang sudah terjalin sekian lama dan didasari rasa saling hormat serta hubungan baik antara rakyat bagi kededua negara.
Lawatan tersebut akan memberi peluang untuk mengeratkan hubungan dua hala serta meneroka bidang kerjasama baharu, termasuk dalam pengurusan bencana, inovasi dan penyelidikan, serta pendidikan.
Dr Balakrishnan dijadualkan bertemu Senator Dar, diikuti dengan sidang media bersama sebelum menghadiri jamuan tengah hari.
Selain itu, Dr Balakrishnan akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Pakistan, Encik Muhammad Shehbaz Sharif serta Marsyal Syed Asim Munir, yang merupakan Panglima Tentera merangkap Ketua Staf Tentera Darat.
Beliau turut akan melawat Pusat Kecerdasan Buatan Nasional (NCAI) di Universiti Sains dan Teknologi Nasional (NUST) bagi meninjau kemajuan Pakistan dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Dr Balakrishnan akan diiringi pegawai MFA dalam lawatannya itu.