Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian sifatkan penerimaan perjanjian lindungi laut kemenangan ‘luar biasa’

S’pura akan sahkan Perjanjian bagi Perlindungan dan Penggunaan Secara Mampan Kepelbagaian Biologi Marin ‘secepat mungkin’ apabila tandatangan dimulakan
Jun 20, 2023 | 7:16 PM
KENYATAAN NASIONAL: (Kiri) Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (foto kiri), menyampaikan Kenyataan Nasional pada sesi kelima Persidangan Antara Pemerintah BBNJ pada 19 Jun 2023. (Atas) Duta Besar Singapura, Cik Rena Lee (baris depan, dua dari kiri), mempengerusikan sesi kelima Persidangan Antara Pemerintah BBNJ pada 19 Jun 2023.
KENYATAAN NASIONAL: (Kiri) Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (foto kiri), menyampaikan Kenyataan Nasional pada sesi kelima Persidangan Antara Pemerintah BBNJ pada 19 Jun 2023. (Atas) Duta Besar Singapura, Cik Rena Lee (baris depan, dua dari kiri), mempengerusikan sesi kelima Persidangan Antara Pemerintah BBNJ pada 19 Jun 2023. - Foto-foto MFA

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata penerimaan Perjanjian bagi Perlindungan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin bagi Kawasan Melebihi Bidang Kuasa Negara (BBNJ) merupakan kemenangan dari tiga sudut – undang-undang antarabangsa, pengurusan bersama global dan berbilang hala.

Beliau berkata demikian pada sesi kelima persidangan antara pemerintah BBNJ pada 19 Jun 2023 di New York, Amerika Syarikat, ketika menyampaikan Kenyataan Nasional Singapura.

Mengalu-alukan penerimaan bersejarah Perjanjian BBNJ, Dr Balakrishnan menyifatkannya sebagai “kemenangan bagi undang-undang antarabangsa”.

Beliau berkata adalah cukup sesuai perjanjian itu diterima tidak lama setelah masyarakat antarabangsa menyambut ulang tahun ke-40 penerimaan dan keterbukaan menandatangani Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unclos).

Unclos menggariskan rangka kerja undang-undang mengenai bagaimana semua aktiviti di lautan harus dijalankan.

Kedua, Dr Balakrishnan berkata penerimaan Perjanjian BBNJ merupakan kemenangan bagi pengurusan bersama global.

Selain menyediakan makanan, lautan juga memberi pekerjaan kepada berjuta manusia, membolehkan perdagangan dan perhubungan global, memainkan peranan penting dalam sistem iklim dan kitaran air serta merupakan takungan kritikal biodiversiti marin, katanya.

“Perjanjian ini merupakan perkara penting dalam usaha kita untuk memulihara dan menggunakan kepelbagaian biologi marin secara mampan.

“Ia juga menandakan satu langkah ke hadapan untuk pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan 14 yang mewajibkan pemuliharaan dan penggunaan mampan lautan dan sumber marin bagi semua manusia,” ujar beliau.

Ketiga, penerimaan Perjanjian BBNJ merupakan kemenangan bagi multilateralisme dan bagi PBB, tambahnya.

“Penerimaan Perjanjian ini secara konsensus, pada masa di mana dunia bergelora, adalah lebih luar biasa.

“Ia adalah bukti pada apa yang boleh dicapai di PBB, apabila kita mengambil tindakan kolektif dalam mencapai objektif bersama,” kata Dr Balakrishnan.

Namun, kerja belum selesai dan yang lebih genting sekarang, tekan beliau, ialah masyarakat antarabangsa berusaha untuk mencapai penyertaan sejagat dalam serta pelaksanaan Perjanjian BBNJ yang berkesan.

Singapura akan menandatangani perjanjian tersebut apabila ia dibuka untuk ditandatangani pada 20 September 2023 dan negara ini berhasrat meratifikasinya secepat mungkin, dedah Dr Balakrishnan.

Beliau turut menyeru negara lain supaya menandatangani perjanjian itu dan meratifikasinya secepat mungkin “supaya kita boleh berusaha untuk mula menguatkuasakannya dalam masa terdekat secepat mungkin”.

Dalam pada itu, Dr Balakrishnan menjadi tuan rumah majlis sambutan penerimaan Perjanjian itu di Perwakilan Tetap Singapura ke PBB, menurut satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Ketika menyampaikan Kenyataan Nasional dan semasa majlis itu, Dr Balakrishnan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Duta Singapura bagi Isu Kelautan dan Undang-Undang Laut, Cik Rena Lee, yang mempengerusikan sidang silang pemerintah berkaitan Perjanjian BBNJ.

Dr Balakrishnan juga bertemu Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, dan Presiden sesi ke-77 Perhimpunan Agung PBB, Encik Csaba Korosi.

Beliau mengesahkan komitmen Singapura terhadap dasar berbilang hala dan sokongan terhadap pembaharuan yang akan melengkapkan PBB dengan lebih baik untuk menangani cabaran masa kini dan masa depan, serta menambah baik tadbir urus masyarakat global.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg