Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Vivian: S’pura teroka usaha tambah sokongan bangun Palestin

Pejabat Perwakilan Singapura (SRO) di Ramallah perkukuh penyampaian bantuan teknikal S’pura untuk Palestin
Mar 19, 2024 | 2:57 PM
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (tiga dari kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Palestin, Dr Mohammad Shtayyeh (dua dari kanan). Turut dalam pertemuan tersebut ialah (dari kanan)  wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi dan para Anggota Parlimen, Encik Alex Yam, Encik Gerald Giam, Cik Nadia Ahmad Samdin dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim.
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (tiga dari kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Palestin, Dr Mohammad Shtayyeh (dua dari kanan). Turut dalam pertemuan tersebut ialah (dari kanan)  wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi dan para Anggota Parlimen, Encik Alex Yam, Encik Gerald Giam, Cik Nadia Ahmad Samdin dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim. - Foto ST

Singapura akan terus berusaha mengeratkan lagi hubungan dengan Palestin dengan memudahkan serta memperkukuhkan pertukaran rakyat dengan rakyat, melebihi sekadar pakej teknikal. 

Sewaktu pertemuannya dengan pemimpin Palestin di Ramallah pada 18 Mac, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, mengesahkan komitmen Singapura untuk menyokong usaha pembinaan kapasiti Palestin dalam perkhidmatan awam dan tadbir urus digital.

Dr Balakrishnan berkata keutamaan yang dibangkitkan semasa pertemuannya dengan bakal Perdana Menteri yang dilantik, Dr Mohammad Mustafa, ialah pembangunan bakat manusia dan pembinaan kapasiti, terutama untuk perkhidmatan awam Palestin, yang telah dibantu oleh Singapura.

Beliau merujuk kepada Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) bernilai $10 juta daripada Singapura yang telah memanfaatkan lebih 700 pegawai penguasa Palestin dengan menyediakan program latihan dan biasiswa pascasiswazah.

Antara lain, skim Etap itu dapat diubah dan diaturkan khusus oleh Singapura bagi pegawai penguasa Palestin berdasarkan apa yang mereka ingin pelajari dari Singapura

“Mereka ingin mempunyai lebih banyak peluang untuk belajar daripada penjawat awam kita. 

“Mereka telah meminta kami meneruskan dan, sebenarnya, cuba mempercepatkan perkara ini. 

“Saya memberitahu mereka, kami gembira apabila lebih ramai pegawai penguasa Palestin datang dan berinteraksi dengan Singapura dan rakyat Singapura,” kata Dr Balakrishnan, yang turut bertemu Perdana Menteri Palestin, Dr Mohammad Shtayyeh; dan rakan sejawatannya, Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat, Dr Riad Al Malki; serta Ketua Perkhidmatan Perisikan Am Palestin, Encik Majed Faraj, berasingan. 

Pembukaan Pejabat Perwakilan Singapura (SRO) di Ramallah pada Oktober 2022 juga telah membantu meluaskan jangkauan dan memperkukuhkan lagi penyampaian bantuan teknikal Singapura kepada penguasa Palestin.

Dr Balakrishnan berkata beliau sangat gembira kerana Singapura mempunyai “kehadiran sepenuh masa” di Ramallah.

Pejabat itu akan membantu menyelaras usaha menyokong pegawai penguasa Palestin dalam memanfaatkan Etap serta Program Kerjasama Singapura (SCP) yang bertujuan berkongsi pengetahuan penting bagi pembangunan wilayah Palestin.

Cik Shireen Shelleh, sebagai Pengarah Kehormat SRO, akan menyelaras secara rapat dengan wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi, bagi memudahkan penyampaian pakej bantuan teknikal yang dipertingkat untuk rakyat Palestin, yang ditubuhkan pada 2013.

Cik Shireen berkata kesan usaha yang dilakukan pejabat itu amat ketara meskipun ia berskala kecil sambil berkongsi bahawa pejabat itu setakat ini telah membantu mengatur lawatan tapak dan lawatan sambil belajar di Singapura untuk pegawai penguasa Palestin.

Ini akan membolehkan penjawat awam belajar daripada pengalaman mereka di Singapura dan mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari untuk mengurus dan mengendalikan sistem serupa di wilayah Palestin, tambah beliau. 

“Ia juga sebahagian daripada meningkatkan kesedaran tentang Singapura... Mempunyai tempat dan hubungan di sini benar-benar memperkaya hubungan antara kedua-dua rakyat,” kata Cik Shireen.

Ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk menambah lebih banyak sokongan ke wilayah itu, Dr Balakrishnan berkata Singapura akan meneroka cara untuk meningkatkan bantuan teknikal yang disediakannya di Palestin agar dapat mempercepatkan pembangunan Tebing Barat wilayah Palestin itu.  

“Kami pasti akan membuat penilaian lanjut untuk memenuhi keperluan mereka. Banyak perkara yang perlu dilakukan,” tambahnya.

Selain lawatannya ke wilayah Palestin, Dr Balakrishnan akan melawat Israel, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Arab Saudi dari 18 hingga 24 Mac sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Timur Tengah.

Keprihatinan golongan muda S’pura terhadap krisis di Palestin

“Saya gembira rakyat Singapura mengambil berat. Dan jika golongan muda kita tidak peduli, itu menjadi petanda buruk untuk masa depan kita. Jadi saya ingin menggalak rakyat Singapura supaya terus mencari cara yang membina untuk menyatakan kebimbangan dan belas kasihan kami. Dan jika mereka berpeluang datang ke sini dan melihat bagaimana Singapura diterima dan bagaimana kita dipandang di kebanyakan negara, malah di semua bahagian Timur Tengah, mereka akan menyedari bahawa keprihatinan dan belas kasihan itu sebenarnya akan menjadi ciri-ciri yang baik bagi identiti negara kita.”
Kebimbangan terhadap keadaan di Gaza

“Kebimbangannya ialah kemerosotan kedua-dua situasi kemanusiaan, politik dan keselamatan di bahagian dunia ini, dan termasuk kebimbangan yang dinyatakan sama ada konflik ini, atau keburukan yang bermula pada 7 Oktober (2023) ini malah boleh merebak dan menjadi konflik serantau, yang kemudiannya akan mempunyai implikasi yang lebih teruk dan lagi mendalam di bahagian dunia ini malah sehingga ke Asia Tenggara.”
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg