Topic followed successfully
Go to BHkuVTL laut dari Batam dan Bintan dibuka mulai 25 Feb
VTL laut dari Batam dan Bintan dibuka mulai 25 Feb
VTL laut dari Batam dan Bintan dibuka mulai 25 Feb

PENGUNJUNG yang telah divaksin penuh dari Batam dan Bintan di Indonesia akan dibenarkan memasuki Singapura mulai 25 Februari tanpa kuarantin, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) semalam.
Indonesia buat masa ini mengendalikan gelembung perjalanan yang membolehkan pengunjung Singapura memasuki Batam melalui terminal feri antarabangsa Nongsapura dan Bintan, melalui terminal feri Bandar Bintan Telani, tanpa kuarantin.
MPA berkata sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan ketersambungan, Singapura kini akan menawarkan aturan serupa bagi memudahkan perjalanan bebas kuarantin melalui laut dalam kedua-dua arah.
Pengunjung dari Indonesia kini boleh terbang ke Singapura di bawah aturan Laluan Perjalanan Buat Orang Yang Divaksin (VTL) tanpa memerlukan kuarantin.
MPA berkata pengunjung yang divaksin penuh dari Batam dan Bintan boleh memohon Pas Perjalanan Bagi Orang Yang Sudah Divaksinasi (VTP) mulai 10 pagi Selasa depan (waktu Singapura).
Sebagai permulaan, 700 pengunjung yang telah divaksin akan dibenarkan melakukan perjalanan bebas kuarantin melalui laut setiap minggu - 350 setiap satu dari terminal Nongsapura dan terminal Bandar Bintan Telani ke terminal feri Tanah Merah Singapura. Perkhidmatan feri itu akan dikendalikan oleh pengendali feri serantau, Batam Fast dan feri Bintan Resort.
Semua pengunjung yang telah divaksin melalui laut dari Batam dan Bintan mesti memperoleh keputusan negatif melalui ujian prakeberangkatan, sama ada ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) atau ujian pantas antigen (ART) yang dilakukan secara profesional - dalam masa dua hari sebelum berlepas ke Singapura.
Mereka juga mesti mengambil ujian ART yang dipantau di Pusat Ujian Pantas atau Pusat Ujian Gabungan dalam masa 24 jam selepas ketibaan dan kekal mengasingkan diri hingga keputusan ujian mereka disahkan negatif.

