Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aidilfitri sinari nilai kemanusiaan, keihsanan, kesabaran, ketaatan dan kecekalan

Apr 24, 2023 | 5:30 AM
Foto hiasan ISTOCKPHOTO SEMANGAT BERAYA: Sekumpulan pekerja memasang gerbang berhias sempena Hari Raya Aidilfitri di Geylang Serai pada tahun 1998. - Foto fail SOLAT HARI RAYA DI PADANG: Masyarakat Islam berhimpun di padang sebelah Masjid Darul Ghufran di Tampines mengerjakan solat Hari Raya pada tahun 1999. Pada masa itu masjid tersebut sedang menjalani kerja penambahbaikan dan bangunan sementaranya tidak dapat menampung ramai jemaah. - Foto fail AYUH BERAMAL: Muhamed Syazwan, tiga tahun, masukkan sumbangannya ke dalam kotak Tabung Amal Aidilfitri yang disediakan di luar Kompleks Joo Chiat sambil didukung ibunya, Cik Sabariah Mohd Zin. - Foto fail
Foto hiasan ISTOCKPHOTO SEMANGAT BERAYA: Sekumpulan pekerja memasang gerbang berhias sempena Hari Raya Aidilfitri di Geylang Serai pada tahun 1998. - Foto fail SOLAT HARI RAYA DI PADANG: Masyarakat Islam berhimpun di padang sebelah Masjid Darul Ghufran di Tampines mengerjakan solat Hari Raya pada tahun 1999. Pada masa itu masjid tersebut sedang menjalani kerja penambahbaikan dan bangunan sementaranya tidak dapat menampung ramai jemaah. - Foto fail AYUH BERAMAL: Muhamed Syazwan, tiga tahun, masukkan sumbangannya ke dalam kotak Tabung Amal Aidilfitri yang disediakan di luar Kompleks Joo Chiat sambil didukung ibunya, Cik Sabariah Mohd Zin. - Foto fail -

SYAWAL pasca-Covid-19 tentunya lebih meriah berbanding masa kita terkurung dua-tiga tahun dahulu, sekarang semua bebas bergerak.

Pelitup tidak lagi dimesti, jalan tidak lagi berenggang-renggang.

Tentunya kita tidak sabar untuk saling tampil penuh gaya setelah sebulan berpuasa.

Cuma, dalam kita bergembira, perlu juga kita mengerti Aidilfitri - yang kita sambut hari ini dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu - bukan sahaja menggambarkan kebesaran Illahi tetapi turut menonjolkan nilai-nilai kemanusiaan, keihsanan, kesabaran, ketaatan, dan kecekalan.

Dalam kesemua faktor disebutkan tadi, ada satu perkara penting yang harus kita sedari, Aidilfitri juga berperanan dalam pembentukan dan pemerkasaan jati diri. Umpamanya, pakaian kita semasa meraikan Lebaran - berbaju Melayu, berbaju kurung atau berkebaya adalah sebahagian cerminan itu.

Apatah lagi, pakaian orang Melayu bukan sahaja tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas tetapi kaya falsafahnya.

Menurut catatan Sejarah Melayu, Sultan Mansur Shah, kerajaan Kesultanan Melaka keenam (1459-1477), melarang wanita memakai kain kemban kerana ia bertentangan ajaran Islam yang mendukung kesopanan.

Namun, ada juga yang berpendapat, asal usul baju Melayu berkait dengan pakaian 'djallabiyah' bererti 'baju longgar' dari Mesir.

Wallahu'alam bissawab...

Yang penting, busana tradisi ini bukan sekadar fesyen, tetapi ia menggabungkan nilai jati diri, kemurniaan agama dan pekerti bangsa yang indah lagi santun.

Jadi seandainya anak kecil bertanya, mengapa baju Melayu cekak musang berbutang lima, nyatakan ia bersandarkan kepada rukun Islam lima perkara, dengan dua butang di kolar juga menandakan dua kalimah syahadah, dan tuntutan sembahyang lima waktu.

Andai ada bertanya apa nilai yang ada pada baju teluk belanga, yang dikatakan mula diperkenalkan pada 1862 ketika Temenggung Abu Bakar ditabalkan menjadi Temenggung Johor menggantikan ayahanda, Temenggung Ibrahim Sri Maharaja, katakan ia menggambarkan Tuhan nan satu yang disembah.

Tiga kocek di baju pula mencerminkan tiga nilai seorang Muslim: Iman, Islam dan Ihsan.

Baju kurung yang dipakai pula menggambar nilai dan keluhuran Melayu terhadap wanita - bersandarkan pada kesopanan dan rasa malu.

Ah... dalam memperkatakan soal malu dan jati diri ini, teringat saya akan teras pembentukan adab dan pekerti orang Melayu, sebagaimana yang ditekankan orang-orang lama dan pernah dituliskan pendeta Tenas Affendy (1936-2015):

"Mulia hidup beraib malu...

Apabila malu sudah tersingkap,

tuah hilang maruah pun lesap

Apabila malu sudah padam,

muka yang putih menjadi hitam

"Apabila malu sudah tercabut,

tuah hilang maruah

pun hanyut..."

Jadi, dalam kita kunjung mengunjung, perlu beringat agar jaga diri, jaga bahasa, sesama saudara bertegur sapa, sesama sahabat ingat mengingat; bertanya jangan menguji, menjawab jangan mengeji.

Hakikatnya, Hari Raya bukan sekadar masa untuk bergembira tetapi mempererat ukhuwah dalam suasana penuh muhibah.

Oleh itu, setiap tingkah harus dijaga. Macam dikatakan leluhur kita:

"Bercakap dengan adab,

berbual dengan akal, berbicara berkira-kira

"Bercakap berlembut lidah,

berbual bermanis muka

Santun pada yang tua, sayang

pada yang muda

Yang tua dituakan,

yang muda diperhatikan

Yang pucuk disanjung,

yang akar dinaung..."

Sedang kita duduk berkumpul dengan ahli keluarga dan sanak saudara, berbasa-basilah dan bertanya khabar. Ini akan membantu kita lebih mengetahui tingkat kesejahteraan antara keluarga, sepupu dan saudara mara.

Tidak molek rasanya, apabila sudah berkumpul sesama ahli keluarga dan saudara-mara, kita bersikap endah tak endah, engkau-engkau, aku-aku.

Melayu ini hidupnya bermasyarakat, dan punyai nilai tahu diri.

"Tahu hidup berkaum bangsa,

sakit senang sama dirasa

Tahu hidup berbilang suku,

sakit senang sama membantu

Tahu hidup berorang banyak,

saudara dijaga sahabat dipinak

Tahu hidup berketurunan,

ingat-ingat hari kemudian..."

Dalam asyik bersembang dan bercerita, sebaiknya juga kita jaga perilaku, kerana Melayu ini bersandar pantang.

"Pantang bercakap

membuang adab

Pantang duduk bercakap besar,

pantang tegak menepuk dada

Pantang menangguk air

di dulang

Pantang menangguk di air keruh

Pantang berezeki iri mengiri,

pantang melarat umpat

mengumpat

Bagi yang muda-muda, jangan pula asyik bermain henfon. Lebaran adalah masa untuk saling berkenal dan berkawan dengan yang sebaya.

Biar tahu rupa dan siapa, sepupu atau anak saudara, ibunya siapa, bapanya kita panggil apa, biar lebih mengetahui susur galur keluarga.

"Yang disebut Muda Teladan

Laku dan cakap elok sepadan

Mukanya manis perangai

pun sopan

Orang tua-tua ia muliakan

Sesama sebaya ia berkawan..."

Ini antara secebis perkongsian dalam kita beringat-beringat, jangan sampai kelupaan.

Maklum sahaja, kita dan anak-cucu kita hari ini semakin terdedah kepada pelbagai resam baru kehidupan yang penuh keterbukaan, pengaruh kebaratan dan kemodenan - yang melanggar kesusilaan.

Jadi dalam mengharungi kesemua ini, perlu kita beringat akan nilai hidup kita, masyarakat di bawah angin, yang 'rang tua kita sering ingatkan:

"Orang senonoh berpandangan jauh."

Semoga apa yang disampaikan ini dapat dimengerti dan dijadikan panduan dan pedoman semua dalam pengukuhan jati diri kita.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

"Dalam kita kunjung mengunjung, perlu beringat agar jaga diri, jaga bahasa, sesama saudara bertegur sapa, sesama sahabat ingat mengingat; bertanya jangan menguji, menjawab jangan mengeji.

Hakikatnya, Hari Raya bukan sekadar masa untuk bergembira tetapi mempererat ukhuwah dalam suasana penuh muhibah.

Oleh itu, setiap tingkah harus dijaga. Macam dikatakan leluhur kita:

"Bercakap dengan adab,

berbual dengan akal, berbicara berkira-kira

"Bercakap berlembut lidah,

berbual bermanis muka

Santun pada yang tua, sayang

pada yang muda

Yang tua dituakan,

yang muda diperhatikan

Yang pucuk disanjung,

yang akar dinaung..''

- Penulis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg