Topik diikuti
Pergi ke BHkuWajah baharu Galeri Sejarah Singapura angkat warisan Orang Laut
Seni pemasangan jongkong hasil kerja tangan pembuat asal Tanjung Pinang jadi tarikan utama di Muzium Negara Singapura
Wajah baharu Galeri Sejarah Singapura angkat warisan Orang Laut
Sekitar 700 tahun lalu, Singapura berkembang sebagai pusat maritim yang mempunyai hubungan rapat dengan rantau ini serta dunia.
Keterhubungan itu turut memainkan peranan penting dalam membentuk kepelbagaian budaya dan jati diri negara ini, yang dipaparkan menerusi pelbagai artifak serta kisah dalam Galeri Sejarah Singapura.
Galeri di Muzium Negara Singapura, di 93 Stamford Road, itu bakal dibuka semula kepada orang ramai pada 10 Oktober selepas melalui rombakan besar buat julung-julung kalinya sejak 2006.
Antara tarikan utama ialah segmen pertama, Fluid Beginnings (Permulaan Aliran Perubahan) (1300-an hingga 1800-an), yang mengetengahkan seni pemasangan jongkong, hasil buatan Encik Nasrun Syawal.
Beliau ialah pembuat permainan jong berpengalaman dari Tanjung Pinang, Indonesia.
Encik Nasrun, 66 tahun, ditugaskan oleh Muzium Negara Singapura untuk menghasilkan jongkong tersebut menerusi kerjasama dengan gerakan warisan Orang Laut SG, yang diasaskan Encik Firdaus Sani, 37 tahun.
Segmen itu menelusuri sejarah awal Singapura sebagai pusat maritim dan perdagangan dalam sejarah dunia Melayu.
Meskipun lebih mahir menghasilkan jong, iaitu permainan tradisional masyarakat Melayu di Kepulauan Riau, Encik Nasrun menyahut tugas menghasilkan jongkong berbekalkan ilmu yang diwarisi daripada ibu bapanya sejak beliau berusia 10 tahun.
Menurut Encik Nasrun, yang juga pengamal perubatan tradisional melibatkan tulang, jongkong ialah sejenis perahu yang digunakan masyarakat Melayu dahulu sebagai pengangkutan.
Jongkong, ujar beliau, mempunyai saiz berbeza.
“Jongkong yang paling kecil itu sekitar tiga meter dan boleh memuatkan satu orang.
“Ada juga yang boleh memuatkan empat hingga 12 orang, hanya dengan kayu sebatang yang ditebuk dan tidak disambung seperti yang digunakan dalam pacu jalur (perlumbaan perahu tradisional masyarakat Riau).
“Yang biasa digunakan masyarakat Riau ialah jongkong yang boleh memuatkan dua orang dan panjangnya sekitar lima meter,” kata Encik Nasrun kepada Berita Harian (BH).
Menurut bapa lima anak berusia antara 21 dengan 38 tahun itu, seni pemasangan jongkong yang dibinanya diperbuat daripada kayu pulai kerana sifat bahan itu yang ringan, kukuh dan mudah dibentuk.
Secara am, beliau akur proses menghasilkan jongkong kecil mengambil masa sekitar sebulan hingga sebulan setengah, namun bergantung pada tahap kemahiran dan ketekunan pembuatnya.
Jongkong terbahagi kepada lapan bahagian iaitu tiang, andang, tali layar atau daman, sengkar, pendayung, kemudi, sauk dan lunas.
Bagi Encik Nasrun, proses menghasilkan jongkong bukan sekadar memperlihatkan kemahiran bertukang masyarakat Melayu terdahulu, malah mencerminkan kepintaran mereka dalam membentuknya dengan sumber yang terhad.
“Nak bina jongkong harus ada kepintaran. Tanpa kemudahan seperti mesin gergaji atau alat canggih lain, jongkong dibina hanya dengan sebatang kayu.
“Budaya itulah yang kemudiannya terus dipertahankan, termasuk adanya perlumbaan jong kini yang menjadi ruang untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” jelasnya.
Penolong Kurator Muzium Negara Singapura, Encik Ernest Koh, yang menyelia segmen itu, berkata jongkong hasil tangan Encik Nasrun menggambarkan kesinambungan warisan Orang Laut.
“Orang Laut bukan sekadar sebahagian daripada catatan sejarah.
“Mereka masih wujud dan terus mewariskan pengetahuan, amalan serta tradisi mereka hingga hari ini.
“Jongkong ini menunjukkan budaya dan kemahiran itu terus hidup menerusi individu seperti Encik Nasrun,” jelasnya.
Beliau menambah, seni pemasangan jongkong itu juga diharap dapat menghidupkan sejarah bagi masyarakat, sekali gus memupuk jati diri menerusi warisan tersebut.
Galeri itu turut merangkumi enam segmen lain, antaranya Colonial City (Kota Kolonial) (1800-an hingga 1930-an); Fall of the Fortress (Kejatuhan Kota Kubu) (akhir 1930-an hingga 1940-an); Towards a New Identity (Menuju Identiti Baharu) (1950-an hingga 1960-an); Becoming Singapore (Menjadi Singapura) (1960-an hingga 1980-an); Being Singaporean (Menjiwai Sifat Anak Singapura) (1980-an hingga 1990-an); dan Looking Global (Melangkah ke Persada Sejagat) (2000-an hingga kini).
Setiap segmen membawa pengunjung menyusuri perkembangan Singapura mengikut zaman, bukan sahaja menerusi artifak sejarah, malah kisah dan pengalaman masyarakat yang melaluinya.
Tiket masuk adalah percuma bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR).