Calon Melayu/Islam yang berpotensi bertanding bersama parti pembangkang telah kelihatan turun padang untuk mendekati penduduk di serata Singapura.
Ia termasuk di Tampines dan Marsiling-Yew Tee, di tengah-tengah bahang pilihan raya umum 2025 (GE2025) yang bakal menjelang.
Selain berinteraksi dan beramah mesra, pelbagai kegiatan turut dilakukan, dengan ada calon yang berpotensi itu dilihat mengagihkan kurma kepada penduduk di bazar sempena Ramadan.
Bagi Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, pengurus hartanah kanan di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), kelihatan bergambar dengan AP GRC Sengkang.
Beliau dijangka mengisi kerusi kosong di GRC Sengkang yang sebelum ini milik mantan anggota WP, Cik Raeesah Khan.
Cik Raeesah mengundurkan diri pada November 2021, berikutan siasatan berhubung pengakuan beliau berbohong di Parlimen.
Encik Abdul Muhaimin muncul dalam gambar yang merakam dirinya bersama Encik Louis Chua dan Profesor Madya Jamus Lim dalam acara Hari Natal yang dimuat naik di Facebook pada 1 Januari.
Terdapat juga gambar beliau di acara bertemu penduduk bersama Profesor Lim yang dimuat naik pada 21 Januari.
Sementara itu, Cik Afifah Khalid, pengarah bersekutu dalam industri khidmat kewangan adalah pula antara empat individu daripada WP yang dijangka bertanding sebagai calon di Tampines – yang dijangka menghadapi persaingan empat penjuru antara PAP, WP, Parti Perpaduan Nasional (NSP) dengan Parti Kuasa Rakyat (PPP).
Cik Afifah dan pasukannya dilihat bergambar bersama mantan ketua WP, Encik Low Thia Khiang, dan ketua parti yang lain pada 2024, sebagai sebahagian daripada kegiatan pendekatan WP untuk mengagihkan surat berita, Hammer, pada April dan November.
Sementara itu, Cik Surayah Akbar, daripada Parti Demokratik Singapura (SDP) pula aktif mendekati penduduk di GRC Marsiling-Yew Tee, seperti dilihat dalam laman media sosialnya.
Beliau dan pasukan SDP telah mengagihkan kurma kepada penduduk semasa berkunjung ke Bazaria Marsiling baru-baru ini.
Cik Surayah merupakan bendahari dan ketua pengumpulan dana dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat SDP.
Semasa pelancaran kempen SDP pada Mei 2024, pengerusi parti, Dr Paul Tambyah, telah menyatakan bahawa Cik Surayah “pasti” akan menjadi calon dalam GE akan datang.
Dalam pada itu, mantan sukarelawan WP, Encik Sumarleki Amjah, telah muncul sebagai antara wajah Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam siri video parti itu yang bertajuk, ‘Volunteers of PSP’.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial pada November 2024, Encik Sumarleki, pada ketika itu berkata beliau telah menyertai PSP sejak enam bulan lalu.
Sehingga kini, beliau telah bersama parti itu selama 10 bulan.
Beliau merupakan ketua pembangunan perniagaan dan makanan tempahan pelanggan di syarikat industri produk perkilangan untuk pengguna (CPG)/barangan pengguna pantas bergerak (FMCG), Del Monte Pacific dan merupakan guru silat pada masa senggang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg