Topic followed successfully
Go to BHkuWajar Muis rujuk isu tuduhan rasuah kepada CPIB
Wajar Muis rujuk isu tuduhan rasuah kepada CPIB
Wajar Muis rujuk isu tuduhan rasuah kepada CPIB
LANGKAH yang diambil Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk merujuk isu tuduhan rasuah kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) untuk siasatan lanjut merupakan satu langkah yang wajar dan baik, kata peguam Encik Hamidul Haq.
"Ini merupakan langkah yang betul kerana tuduhan yang dibuat mempunyai kaitan dengan tuduhan rasuah, justeru agensi yang sewajarnya untuk menyiasat berkaitan tuduhan ini ialah CPIB," katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Muis semalam, ia menyatakan bahawa daripada siasatan yang dijalankan Muis, tiada bukti yang menunjukkan bahawa berlakunya rasuah seperti dakwaan yang dilemparkan.
Namun, demi kepentingan ketelusan dan kebertanggungjawapan, Muis berkata ia akan merujuk perkara itu kepada CPIB bagi siasatan lanjut dan akan menghulurkan sebarang bantuan dan kerjasama yang diperlukan.
Selain itu, tindakan Muis membuat laporan polis untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi (OSA), juga menurut Encik Haq, satu langkah yang wajar.
Ini kerana ia dapat memberi hak kepada pihak berkuasa menyiasat kes itu dengan lebih teliti.
Encik Haq, yang merupakan peguam bagi firma Rajah & Tann turut berkata, meski setiap individu berhak membuat dakwaan sendiri namun dakwaan yang serius perlu disokong dengan bukti yang kukuh.
Di antara April dengan Mei 2020, satu siri dakwaan serius dibuat terhadap Muis berkaitan dengan proses pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB).
"Siasatan dalaman yang dijalankan Muis serta siasatan lanjutan luaran daripada panel semakan bebas memberikan keseimbangan yang diperlukan untuk menyiasat kes ini dengan lebih teliti selain menilai kesahihan dakwaan-dakwaan yang dibuat," katanya lagi.
Beliau menambah hasil siasatan jelas menunjukkan bahawa proses pengiktirafan FHCB adalah baik dan dilakukan secara adil.
"Hasil siasatan selalunya berdasarkan fakta. Jika fakta menunjukkan bahawa proses itu baik, maka hasil siasatan akan menunjukkan perkara yang serupa," katanya lagi.
Ditanya sama ada tindakan yang diambil Muis akan mengurangkan rasa curiga masyarakat terhadap proses pengiktirafan ini, Encik Haq berkata:
"Masyarakat mahu kekal peka tentang apa yang berlaku serta proses yang dijalankan.
"Pada dasarnya, masyarakat tidak mahu terdapatnya sikap berat sebelah."

