Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wakaf berperanan bangunkan masyarakat Islam Singapura 

Kewujudan wakaf penuhi keperluan masyarakat generasi akan datang
Nov 8, 2024 | 5:30 AM
Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) secara aktif mempromosi dan mendidik tentang perancangan legasi Islam demi menggalakkan masyarakat merancang legasi mereka, dan meraih pahala sedekah jariah melalui WMS.
Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) secara aktif mempromosi dan mendidik tentang perancangan legasi Islam demi menggalakkan masyarakat merancang legasi mereka, dan meraih pahala sedekah jariah melalui WMS. - Foto MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

Sebagai sebuah badan berkanun yang menyelia sektor wakaf tanah air, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) memainkan peranan penting dalam memastikan aset-aset wakaf ditadbir dengan baik dan terus menjana pulangan sihat demi menyumbang kepada keperluan masyarakat di Singapura.

Usaha tersebut penting bagi memastikan sektor wakaf – yang ditaksirkan bernilai sekitar $1 bilion – terus dijaga dengan baik demi kelestarian dan manfaat untuk generasi akan datang.

Antara wakaf di Singapura termasuk Wakaf MSE Angullia yang ditubuhkan pada 1898, Wakaf Meydin, Dawood, Eusope pada 1924, dan Wakaf Sheriffa Zain Alsharoff pada 1957. Setiap satunya membantu menyokong institusi keagamaan setempat seperti masjid, madrasah serta keperluan masyarakat Islam.

Namun, sepanjang empat dekad lalu, landskap pemilikan harta di Singapura telah mengalami perubahan ketara.

Dengan timbulnya pembangunan semula bandar yang pesat, amalan tradisional bagi mewujudkan wakaf yang biasanya melibatkan seseorang mewasiatkan bangunan atau tanah bagi tujuan kebajikan semakin jarang berlaku. Selain itu, nilai hartanah yang melonjak tinggi di Singapura juga menjadikan pendermaan hartanah berskala besar kurang dimampui ramai.

Akur dengan keadaan tersebut, Muis melancarkan Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) pada Ogos 2024 bagi menawarkan peluang lebih mudah bagi masyarakat menyumbang kepada wakaf, di samping membentuk sebuah wadah pendanaan yang mampan bagi menampung keperluan masa depan masyarakat Islam setempat.

Mengulas tentang WMS, Timbalan Pengarah, Dana Masyarakat Muis, Encik Shamsul Hadi Jangarodin, berkata:

“Melalui WMS, masyarakat boleh mengumpulkan aset mereka secara kolektif, termasuk wang tunai dan hartanah. Dana yang disatukan ini kemudian boleh dilaburkan secara strategik, dengan bimbingan daripada Pejabat Mufti, dan pulangan hasil pelaburan modal itu disalurkan kepada benefisiari yang dipilih dengan teliti.

“Benefisiari tersebut merupakan antara cabaran paling mendesak yang bakal dihadapi masyarakat Islam Singapura dalam tempoh tiga hingga lima dekad mendatang.”

Sebagai contoh, dalam tempoh 30 tahun akan datang, beberapa masjid dan madrasah di Singapura perlu memperbaharui pajakan tanah dan memerlukan perbelanjaan modal yang besar, melebihi apa yang boleh disediakan Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) serta derma orang ramai.

“WMS bertujuan merapatkan jurang pembiayaan ini, menyediakan sumber tambahan yang diperlukan demi memastikan masjid dan madrasah dapat dikekalkan bagi memberi manfaat kepada generasi cucu dan cicit kita,” kata Encik Shamsul.

Dengan penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) pula, dana WMS juga boleh menyokong institusi baru itu demi membekalkan asatizah kita dengan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membimbing masyarakat menghadapi cabaran yang lebih bersifat kontemporari pada masa akan datang.

WMS mula diumumkan pada Jun 2020 sebagai satu daya usaha yang boleh menyediakan dana yang lebih mampan bagi menampung keperluan masyarakat pada masa akan datang.

Sejak itu, Muis telah melakukan pelbagai persiapan, termasuk meminda Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) bagi memperuntuk penubuhan wakaf oleh Muis dan menyelaras perundangan yang menyeluruh untuk WMS.

“Sokongan perundangan ini bukan sahaja melindungi WMS dengan baik tetapi juga menetapkan garis panduan yang jelas untuk pengurusan dan pengawasannya,” jelas Encik Shamsul.

Di samping itu, Muis telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Sementara WMS (WPC) bagi melakarkan hala tuju operasi wakaf baru itu. WPC dipengerusikan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari, dan dianggotai individu pakar dalam bidang seperti perundangan, perakaunan dan agama.

Pendekatan tersusun terhadap tadbir urus WMS ini menunjukkan komitmen terhadap ketelusan, profesionalisme dan perwakilan masyarakat.

Selain itu, Muis juga ingin menggalak masyarakat Islam Singapura mengamalkan Perancangan Legasi Islam (ILP) atau merancang harta pusaka mereka dan mempertimbang menyumbangkan sedekah jariah menerusi WMS.

Ini boleh dibuat menerusi pendekatan ‘beri sekarang’ dan ‘beri kemudian’.

Pendekatan ‘beri sekarang’ merupakan sumbangan segera kepada WMS, sama ada sekali sahaja ataupun berulang melalui GIRO atau kad kredit atau debit.

Pendekatan ‘beri kemudian’ pula lebih inovatif dan menggabungkan tiga tuil utama iaitu pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), pencalonan insurans dan melalui wasiat.

Kededua pendekatan tersebut membolehkan semua lapisan masyarakat menyumbang dan menjadi pewakaf kepada WMS.

Bagi meningkatkan kesedaran tentang peranan wakaf serta ILP, Muis telah menganjurkan pelbagai forum seperti Forum Faraid dan Perkampungan Legasi.

Layari laman web Wakaf Masyarakat Singapura, OurWakaf.Sg, untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg