Wakil madrasah bakal sertai upacara sembelihan di Indonesia
Wakil madrasah bakal sertai upacara sembelihan di Indonesia
SEPERTI tahun-tahun sebelum ini, Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah terus gigih menawarkan khidmat korban kambing di luar negara sejak 13 tahun yang lalu. Ibadah korban ini bakal dijalankan di Pesantren Baabussalaam, Bandung, Indonesia, dan wakil daripada madrasah ini bakal ke Indonesia setelah dua tahun tidak ke sana disebabkan Covid-19.
Walaupun mempunyai vendor yang dipercayai untuk membantu menguruskan ibadah ini dengan sempurna, pihak Madrasah Al-Ma'arif sendiri tetap prihatin dan ingin mengetahui segala perkembangan tentang haiwan peliharaan yang ada.
Ini bagi memudahkan pihak madrasah memantau segala persiapan dengan sempurna. Antara syarat yang ditetapkan, setiap kambing perlu mempunyai berat badan antara 20 kilogram dengan 23 kilogram, cukup umur, sihat dan tidak berpenyakit.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma'arif, Cik Siti Radhiyah Rahmat, segala tanggungjawab dan amanah yang disandarkan kepada mereka akan dilaksanakan sebaik mungkin demi memberikan kepuasan kepada semua pihak.
"Insya-Allah jika tiada halangan, wakil pihak Madrasah Al-Ma'arif akan turun padang dan melihat sendiri upacara penyembelihan yang akan dijalankan di Pesantren Baabussalaam setelah dua tahun tidak ke sana disebabkan Covid-19.
"Kami sering meninjau serta mengetahui segala perkembangan di Indonesia. Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun ke-13 kami menawarkan khidmat korban, dan pihak pesantren sendiri sudah terbiasa dan tahu persiapan yang harus mereka lakukan. Tidak seperti dua tahun yang lepas, kami berasa lebih puas apabila wakil pihak madrasah 'turun padang' dan menyaksikan sendiri segala persiapan dan urusan korban berjalan lancar, seperti yang kami inginkan. Amanah yang diberikan daripada semua peserta korban ini harus kami laksanakan dengan baiknya," jelas Cik Siti Radhiyah.
Cik Siti Radhiyah turut berkata daging korban itu nanti akan diagihkan sepenuhnya kepada penduduk miskin, keluarga yang memerlukan, anak-anak yatim dan ramai lagi. Selain itu, hasil daripada sebahagian projek korban ini akan disalurkan kepada dana pembangunan madrasah.
"Penerima daging korban ini merupakan penduduk susah yang menetap di sekitar kawasan pesantren, warga kerja pesantren dan sebagainya. Berat timbangan juga kami titik beratkan. Kambing-kambing yang disediakan juga dianggarkan antara 20 kilogram dengan 23 kilogram, supaya lebih banyak manfaat untuk dibahagi-bahagikan daging korbannya kepada orang miskin di Baabussalaam nanti.
"Selain itu, sebahagian daripada harga tempahan korban ini akan kami salurkan kepada dana pembangunan madrasah. Pihak kami sedang giat melakukan kerja ubah elok di sebahagian aras bangunan madrasah. Insya-Allah dianggarkan siap sebelum buka sekolah pada akhir Jun ini. Pada aras yang lain, ubah elok tandas ini akan disambung kerja baik pulih pada hujung tahun ini. Kami amat mengalu-alukan sokongan dan sumbangan ikhlas anda semua demi mencapai matlamat kami ini. Madrasah Al-Ma'arif menyasarkan mengumpul sebanyak $2 juta dalam masa tiga tahun ini, bermula dari 2021 hingga 2023," jelasnya Cik Siti Radhiyah lagi.
CARA TEMPAH KAMBING BAGI KORBAN, AKIKAH
- Harga seekor kambing bagi ibadah korban $260 dan bagi akikah $280.
- Tarikh akhir tempahan 4 Julai 2022.
- WhatsApp atau hubungi talian 9182-4766 untuk tempahan atau pertanyaan.
CARA TEMPAHAN :
1. Ke pejabat madrasah, No 3 Lorong 39 Geylang Singapura 387865 (Kami menerima pembayaran tunai/Nets dan Cek)
2. PayNow ke UEN : S36MM0001G (rujukan: KORBAN)
3. Perbankan Internet: 507018232001 (rujukan: KORBAN)
4. Tempahan dari rumah: WhatsApp/hubungi talian 9182-4766 (berikan nama penuh, alamat, jumlah tempahan dan tangkap layar pembayaran PayNow).

