Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21

Waktu kerja fleksibel jururawat sepenuh masa TTSH diperluas

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Waktu kerja fleksibel jururawat sepenuh masa TTSH diperluas

May 09, 2024 | 05:28 PM



Percubaan selama dua bulan untuk membolehkan jururawat mempunyai waktu kerja lebih fleksibel di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) kini akan diperluas kepada lebih banyak wad pesakit, kata hospital itu.

Daripada hanya mengikut tiga waktu kerja giliran yang biasa, jururawat kini mempunyai akses kepada enam syif tambahan.

Ia membolehkan jururawat sepenuh masa menggabungkan kededua syif untuk memperoleh keseimbangan kehidupan bekerja. 

Dalam kenyataannya pada 9 Mei, TTSH berkata ia merintis daya usaha, Liquid Nursing, di satu wad pada Oktober 2023, dan kini telah melancarkannya ke tiga wad lain.


Pada masa hadapan, hospital itu merancang mengembangkan usaha tersebut ke lebih banyak wad pesakit.

Liquid Nursing bertujuan memberi jururawat keseimbangan kehidupan bekerja dengan pilihan syif fleksibel selain memperkukuh cara jururawat di wad menawarkan penjagaan sebagai sepasukan.


Ia menyediakan kepelbagaian dalam syif dan peranan seorang jururawat.

Di bawah daya usaha itu, bidang kejururawatan direka semula di bawah dua peranan yang luas – jururawat utama dan jururawat fleksi – dan tambahan enam syif fleksibel.

Jururawat utama bertugas mengikut waktu kerja giliran yang rutin dengan kewajipan penjagaan penuh, manakala jururawat fleksi mengendalikan syif fleksibel dengan peranan modular dan tugas penjagaan khusus.

Syif rutin merangkumi tiga waktu giliran kerja – syif pagi dari 7 pagi hingga 3 petang (lapan jam); syif petang dari 1 petang hingga 9 malam (lapan jam); syif malam dari 8 malam hingga 8 pagi (12 jam). 

Jadual syif fleksibel adalah dari 8 pagi hingga 4.30 petang (8.5 jam); 10 pagi hingga 7 malam (sembilan jam); 12 tengah hari hingga 7 malam (tujuh jam); 2 petang hingga 8 malam (enam jam); 7 pagi hingga 7 malam (12 jam) dan syif empat jam pada waktu fleksibel.

Jururawat sepenuh masa TTSH kini boleh menggabungkan kededua syif rutin dan fleksibel setiap bulan, kata TTSH.

Pendekatan itu bagi membolehkan jururawat merancang dengan lebih baik tanggungjawab peribadi dan keluarga mereka mengikut jadual kerja, tambahnya.

Jururawat fleksi bertindak selaku penyokong jururawat utama. Mereka membantu prosedur di sisi katil yang kompleks seperti membalut luka, dan menyediakan sokongan tambahan seperti latihan penjaga, dan menghantar pesakit berulang-alik ke tempat rawatan mereka. 

Jururawat utama pula memberi tumpuan kepada peranan teras klinikal. Ia termasuk menyertai rondaan doktor, penilaian dan mendokumentasi, komunikasi dengan keluarga, penyelarasan penjagaan dan penyerahan syif.

Peranan ‘jururawat prosedur’ juga telah diuji. Ia melibatkan sekumpulan jururawat terlatih memberikan sokongan semasa pembedahan jika terdapat permintaan di peringkat hospital bagi bantuan prosedur di sisi katil yang lama, kata TTSH.

Dengan Liquid Nursing, jururawat utama dapat menjimatkan kira-kira 30 hingga 90 minit masa harian mereka untuk menumpukan perhatian kepada tugas utama dan mempunyai masa rehat yang mencukupi semasa syif, tambah pihak hospital.


“Sangat menggalakkan untuk melihat jururawat kami memberi tindak balas positif terhadap inisiatif ini, dengan kesungguhan dan keterujaan yang baru. 

“Kerjasama dan semangat setiakawan yang kini meningkat dalam kalangan jururawat telah menghasilkan kecekapan lebih tinggi di wad, di samping mengekalkan standard penjagaan tinggi yang sering mereka banggakan,” kata Penasihat Projek dan Timbalan Pengarah Kejururawatan di TTSH, Cik Sui Huangbo.

Selepas dua bulan mencuba Liquid Nursing, tinjauan yang dijalankan TTSH pada November 2023 menunjukkan keberkesanan inisiatif tersebut.


Lebih 60 peratus jururawat menyifatkan aturan kerja baru mereka sebagai ‘fleksibel’ – naik daripada 35 peratus.


Sebanyak 70 peratus daripada mereka pula berkata mereka dapat meninggalkan tempat tugas tepat pada masanya untuk kebanyakan atau semua syif mereka. Ini naik daripada 30 peratus yang mengatakan sedemikian.


Hampir semua jururawat juga melaporkan bahawa mereka dapat berehat secukupnya semasa syif, berbanding 54 peratus sebelumnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >