LANJUTAN waktu operasi bagi Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) dan poliklinik terpilih dihentikan mulai semalam berikutan gelombang Omicron yang menunjukkan tanda-tanda semakin reda, kata Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin.
Bagi membantu mengurangkan kesesakan pesakit di klinik dan poliklinik, MOH sebelum ini telah melanjutkan waktu operasi sebahagian PHPC dan poliklinik terpilih selama dua minggu dari 25 Februari hingga 10 Mac.
Waktu lanjutan bagi klinik adalah sehingga 11 malam pada hari bekerja, dari 2 petang hingga 5 petang pada petang hujung minggu, dan sehingga 11 malam pada malam hujung minggu.
Poliklinik terpilih juga beroperasi pada petang Sabtu dan pagi Ahad, lapor akhbar The Straits Times.
Memandangkan gelombang jangkitan Omicron menunjukkan tanda-tanda semakin reda, klinik-klinik ini akan kembali kepada waktu operasi biasa mulai semalam untuk memberi mereka "rehat yang amat diperlukan" daripada waktu operasi yang panjang, kata kementerian itu.
Ia juga mengucapkan terima kasih kepada penyedia penjagaan utama kerana tampil menyokong usaha nasional untuk menghadapi permintaan klinikal daripada lonjakan Omicron.
Lebih 655 PHPC, dengan 15 daripadanya klinik 24 jam, masih dibuka dalam waktu pelbagai masa pada malam hari bekerja dan pada hujung minggu, tambahnya.
Senarai terkini PHPC dan poliklinik, bersama dengan waktu operasinya, boleh didapati di laman web https://flu.gowhere.gov.sg/.
Orang ramai dinasihatkan agar menghubungi klinik terlebih dahulu untuk mengesahkan operasi dan masa perkhidmatan, terutamanya bagi ujian dan vaksinasi Covid-19, dan juga membuat janji temu mengikut keperluan sebelum ke sana.
Di bawah Protokol 2, individu yang telah diuji positif melalui ujian pantas antigen (ART) yang ditadbir sendiri dan mempunyai gejala ringan atau tiada gejala harus mengasingkan diri selama sekurang-kurangnya 72 jam.
Jika perlu, mereka boleh membuat janji temu di mana-mana pusat ujian gabungan (CTC) atau di pusat ujian pantas bagi melakukan ART kendiri yang diselia.
Mereka yang berasa tidak sihat atau mengalami gejala seperti demam atau batuk yang berterusan boleh melawati mana-mana PHPC melalui pengangkutan persendirian untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Sejak 26 Februari, individu yang diuji positif bagi ujian ART di CTC pada hujung minggu boleh meminta konsultasi dengan doktor teleperubatan, yang akan dapat menetapkan dan menghantar ubat jika perlu.
Ujian dan konsultasi akan dibiayai oleh pemerintah sehingga 20 Mac.
Kelmarin, MOH juga mengulangi gesaannya agar orang ramai mengelak daripada tergesa-gesa ke jabatan kecemasan di hospital melainkan jika mereka mengalami kecemasan, bagi mengutamakan sumber penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera.
Pesakit yang pergi ke jabatan kecemasan dengan kes tidak cemas, termasuk kanak-kanak, boleh dialihkan ke klinik penjagaan segera atau klinik penjagaan asas yang lain bagi penilaian lanjut, tambah MOH


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg