“Tolong jaga ibu saya.”

Pesanan ringkas itu membawa satu amanah besar buat syarikat, Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd (JTS).

Seorang anak pernah menghubungi JTS mengenai ibunya yang sudah berusia dan menggunakan kerusi roda.

Impiannya mahu menunaikan umrah begitu besar, namun tiada ahli keluarga yang dapat menemaninya, sementara si anak pula tidak dapat mengambil cuti.

Sudah tentu kebimbangan bermain dalam fikiran. Siapa yang akan membantu ibunya ke masjid?

Bagaimana jika beliau terpisah daripada kumpulan atau memerlukan bantuan secara tiba-tiba?

JTS tidak sekadar memberikan jaminan.

Sebaliknya, keadaan jemaah tersebut diteliti bersama keluarga bagi memastikan bantuan dapat disediakan sepanjang perjalanan umrah.

Dengan kepekaan pegawai JTS, anggota jemaah tersebut selamat pergi ke Tanah Suci dan pulang ke Singapura.

Alhamdulillah, beliau bukan sahaja dapat menunaikan umrah sebanyak dua kali, malah melaksanakan tawaf sunat, qiamullail, memasuki Jannatul Raudhah dan menunaikan solat fardu di masjid beberapa kali.

Bagi seorang ibu berusia dan mempunyai keterbatasan fizikal, setiap langkah menuju masjid membawa makna besar.

Kepulangannya dengan selamat menjadi satu kelegaan buat anaknya, sekali gus melengkapkan sebuah impian yang lama dipendam.

SETIAP JEMAAH MILIKI CERITA

Hasrat ke Tanah Suci hadir dalam pelbagai keadaan.

Ada yang menabung bertahun-tahun, mahu membawa ibu bapa, selagi masih sihat atau menunggu anak-anak dewasa, sebelum dapat pergi bersama.

Ada juga yang sangat ingin menunaikan umrah tetapi tidak mempunyai teman perjalanan.

Bagi jemaah yang kali pertama mengerjakan umrah, pasti terselit kebimbangan, khususnya warga emas atau mereka yang memerlukan bantuan untuk bergerak.

Kerisauan seperti tersesat, tidak pasti apa yang perlu dilakukan atau segan meminta bantuan boleh menjejas ketenangan mereka sepanjang berada di sana.

Pengarah Jalaluddin Travel, Cik Noor Faizah Mustaffa, berkata penjagaan sering bermula dengan perkara kecil.

“Kadangkala jemaah hanya perlukan seseorang bagi menenangkan mereka.

“Ada yang perlu dibantu kerana tidak kuat berjalan. Ada yang perlukan penerangan diulang beberapa kali.

“Kita perlu sabar dan pastikan tiada sesiapa yang tertinggal,” katanya.

BUKAN SEKADAR TIKET DAN TEMPAT PENGINAPAN

Perjalanan ibadah bukan hanya tentang tiket, hotel dan pengangkutan.

Jemaah berada jauh dari rumah, berdepan perjalanan panjang, cuaca berbeza dan jadual padat.

Dalam keadaan penat, perkara mudah juga boleh menjadi sukar.

Ada yang terlupa kedudukan bilik, cemas apabila tidak menemui rakan sekumpulan atau berdiam diri walaupun memerlukan bantuan.

Pada saat itu, mereka perlu tahu bahawa mereka tidak bersendirian.

Inilah pegangan JTS sepanjang 18 tahun berkhidmat kepada masyarakat Islam Singapura.

Setiap anggota jemaah mempunyai kemampuan berbeza.

Kadangkala pasukan perlu memperlahankan langkah, berhenti dan menunggu supaya semua dapat meneruskan perjalanan bersama-sama.

PENGALAMAN JADIKAN PASUKAN LEBIH PEKA

Pengalaman menguruskan jemaah haji dan umrah mengajar JTS bahawa keadaan tidak selalu berjalan seperti dirancang.

Jemaah boleh jatuh sakit atau terpisah daripada kumpulan.

Tetapi, pasukan perlu kekal tenang dan tahu tindakan yang harus diambil.

Pengalaman tersebut juga membina kepekaan terhadap tanda-tanda kecil.

Jemaah yang tiba-tiba diam, mungkin keletihan.

Warga emas yang berkata “tidak apa-apa” mungkin sebenarnya malu meminta pertolongan.

Kepekaan ini lahir daripada bertahun-tahun mendengar, memerhati dan berjalan bersama jemaah.

AMANAH YANG PERLU DIJAGA

Selama 18 tahun mengendalikan umrah, ziarah Aqsa serta pengurusan dan bimbingan haji, banyak perkara telah berubah. Namun, JTS tetap mahu mempertahankan caranya menjaga jemaah.

Di rumah, ada keluarga yang menunggu kepulangannya.

Justeru, perjalanan perlu diuruskan bukan sahaja dengan pengalaman dan pengetahuan, bahkan bersama kesabaran dan rasa peduli.

Apabila seorang anak berkata, “Tolong jagakan ibu saya,” beliau sedang menyerahkan seseorang yang paling disayanginya.

Amanah itulah yang dijunjung JTS selama ini.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti