KEDEDUA belah kakinya dibungkus pembalut dan disarung kasut tebal untuk melindungi dan mengurangkan kesan sakit pada kakinya.
Namun, dalam keadaan sakit itu, Cik Siti Rahimah Edris tetap berdiri memasak dan melayan pelanggannya yang datang berduyun-duyun ke gerai nasi padangnya di Chai Chee setiap hari.
Ini dilakukannya bukan hanya kerana beliau perlu mencari rezeki, tetapi juga kerana beliau amat minat berniaga dan ingin membantu mereka yang kurang berkemampuan dengan menyediakan makanan pada harga yang murah dan berpatutan.
"Di kawasan Chai Chee ini ada beberapa flat sewa. Jadi, sambil kita jualan, kita lebih kuranglah untuk bantu mereka yang mungkin kurang mampu.
"Ada juga yang tak mampu bayar tetapi kita tetap beri makan kepada mereka," kata beliau.
Cik Siti Rahimah, 58 tahun, menghidapi penyakit kencing manis sejak hampir
empat dekad lalu.
Sejak usianya 35 tahun, beliau telah menjalani sekitar 14 pembedahan untuk membersihkan dan mengeluarkan ulser kencing manis - luka terbuka pada kulit yang muncul akibat peredaran lemah atau kekurangan sensasi disebabkan kerosakan saraf berpunca daripada paras glukosa darah tinggi - pada kakinya.
"Mana yang ada luka, doktor korek untuk bersihkan. Ada yang sampai ke tulang," katanya.
Cik Siti Rahimah tidak dapat menafikan perlu menahan rasa sakit di bahagian kakinya itu, di samping demam yang kadangkala melanda.
Namun, dek cintanya dalam bidang berniaga dan juga memasak, beliau terus kuatkan semangat dan enggan menyerah kalah.
"Disebabkan degil, saya tahankan saja dan tetap hari-hari datang untuk masak dan jual di gerai. Tetapi sekarang, saya dah tak boleh berdiri lama sangat.
"Sayang nak lepaskan. Selagi ada rezeki, kita jual," ujar beliau.
Cik Siti Rahimah mengendalikan gerai nasi padang di kedai kopi Blok 36, Chai Chee Avenue sejak sekitar lapan tahun lalu.
Bersama suami, Encik Mukri Bujor, dan dua anak serta menantu mereka, keluarga itu juga mempunyai dua lagi gerai nasi padang di Bedok dan Tampines.
Namun dalam mereka berniaga, mereka tidak melupakan golongan yang memerlukan.
Di gerai Chai Chee misalnya, Cik Siti Rahimah berkata mereka menjual makanan pada harga yang murah dan berpatutan.
Contohnya, nasi dengan sayur dan telur dijual pada harga $2 manakala nasi lemak dan lontong yang dahulunya dijual pada $2.50, kini dinaikkan harga sedikit kepada $3 disebabkan harga barang mentah yang semakin meningkat.
Setiap tahun semasa Ramadan, Cik Siti Rahimah juga memasak bubur untuk diagihkan secara percuma kepada sesiapa pun yang datang ke gerainya.
"Duit yang Allah swt beri itu, kita tolak balik sana sini untuk bantu orang," kata beliau.
Usaha murni Cik Siti Rahimah itu mendapat perhatian daripada pelanggan tetapnya, dengan ada yang akan sedekah ratusan dolar kepadanya untuk beliau menyiapkan bungkusan makanan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Dengan keadaan penyakit kencing manisnya hari ini, Cik Siti Rahimah berkata beliau sudah mengurangkan tugas memasak di kedai kerana tidak lagi "tahan berdiri lama", dengan tugas itu kini diserahkan kepada kumpulan pekerjanya yang banyak memberikannya sokongan.
Namun, beliau tetap turun padang setiap hari dan malah, mengambil masa mengunjungi kedai di Bedok dan Tampines juga demi memastikan semua operasi perniagaan berjalan lancar.
"Selagi boleh berniaga, saya teruskan niaga. Kadangkala, ada juga terfikir nak berhenti dan jual kedai tetapi anak-anak saya banyak beri kata-kata dorongan supaya jangan patah semangat.
"Saya akan terus berniaga sehinggalah Allah swt kata berhenti," kata beliau.
"Di kawasan Chai Chee ini ada beberapa flat sewa. Jadi, sambil kita jualan, kita lebih kuranglah untuk bantu mereka yang mungkin kurang mampu. Ada juga yang tak mampu bayar tetapi kita tetap beri makan kepada mereka. ... Duit yang Allah swt beri itu, kita tolak balik sana sini untuk bantu orang." - Cik Siti Rahimah Edris, pemilik gerai nasi padang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg