Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Walau hujan atau panas terik, akhbar tetap tiba di pintu rumah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Intai jerih payah vendor penghantar surat khabar

Walau hujan atau panas terik, akhbar tetap tiba di pintu rumah

Jan 02, 2024 | 05:30 AM



Jam menunjukkan 3.08 pagi di sebuah perhentian bas di Beach Road.

Ketika seorang lelaki mabuk menahan teksi dari jarak jauh, berikat-ikat surat khabar diturunkan dari sebuah lori.

Ini menandakan permulaan hari untuk Encik Rathnakumar Chokkalingam, 64 tahun, vendor surat khabar generasi kedua yang telah bertugas selama 42 tahun.

Encik Kumar, seperti yang beliau lebih dikenali, memotong ikatan yang mengandungi lima akhbar terbitan SPH Media – The Straits Times, Lianhe Zaobao, Berita Harian, Tamil Murasu dan The Business Times.


Beliau berkata semasa zaman gemilang penghasilan surat khabar pada 1990-an, beliau dan empat pekerja sambilannya akan mengedarkan kira-kira 1,800 naskhah surat khabar di kawasan Beach Road.

Namun kini, dengan langganan yang merosot dan kenaikan kos Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan minyak, beliau menukar kenderaan, daripada menggunakan van ke motosikal.

Sekali-sekala, beliau mendapatkan bantuan daripada anak lelakinya berusia 34 tahun dan seorang lagi pekerja sambilan untuk menghantar kira-kira 450 naskhah setiap hari.

Encik Kumar memulakan kerja seawal 3.20 pagi lapor akhbar, The Straits Times (ST).


Perhentian pertamanya adalah sebuah bangunan pejabat.

Beliau kemudian menuju ke dua kedai serbaneka 7-Eleven, tempat beliau membuat penghantarannya dan mengumpul semula akhbar yang tidak terjual pada hari sebelumnya.

Seterusnya, beliau berhenti di hotel Fairmont Singapore, menghantar 20 naskhah akhbar kepada budak suruhan, atau ‘bellboy’.

Beliau menunjukkan troli bagasi di anjung depan sambil mengeluh mengenai kemerosotan jualan naskhah media cetak sejak beberapa tahun lalu.

“Pada 1990-an, saya akan memuatkan troli dengan 400 naskhah dan budak suruhan akan menolaknya masuk untuk dihantar ke bilik tetamu,” singkap Encik Kumar.

Menunggang semula motosikalnya, beliau kemudian menuju ke Raffles Hotel dan seterusnya ke stesen MRT Esplanade.

Beliau kemudian membuat perjalanannya kembali ke perhentian bas untuk mengambil bungkusan naskhah akhbar kumpulan kedua.

Encik Kumar berkata menjadi vendor surat khabar lebih daripada sekadar membuat penghantaran – ia juga mengenai menjalinkan persahabatan dengan pelanggan, sesuatu yang beliau hargai dan berasa ia penting untuk bidangnya.

Hubungan baiknya dengan sebuah hotel membolehkan beliau meninggalkan bekalan akhbar di sana sementara beliau membuat perjalanan ulang-alik untuk mengambil lebih banyak naskhah.

Malah, sebuah bangunan pejabat membenarkannya menyimpan bekalan yang tidak terjual dari kedai serbaneka di pelantar tangga. Ia dikitar semula setiap tiga minggu untuk wang tunai.

Mengulas sebab beliau memilih untuk menjadi vendor surat khabar, Encik Kumar berkata: “Ia adalah salah satu bidang di mana anda boleh mendapat wang tunai dengan sangat cepat.

“Ia tidak seperti pekerjaan lain yang mana anda harus tunggu sehingga akhir bulan untuk mendapatkan cek. Kami vendor menerima bayaran penghantaran langsung daripada pelanggan setiap minggu.”

Seorang vendor surat khabar mendapat antara $200 dengan $700 setiap bulan, secara purata.

Selain pendapatan, pengedaran surat khabar juga berlaku dalam kalangan ahli keluarga.

Ketika berusia 12 tahun pada 1971, Encik Kumar membantu bapanya, seorang vendor surat khabar, untuk membuat penghantaran dengan berjalan kaki di sekitar People’s Park sebagai pertukaran untuk gula-gula dan minuman.

Apabila semakin dewasa, beliau mula membantu bapanya dengan lebih kerap, membuat penghantaran dengan menaiki basikalnya.

Walaupun abangnya kemudian mengambil alih perniagaan bapanya, laluan Beach Road yang kini dalam kawasan kendalian Encik Kumar, pernah menjadi kawasan pak ciknya bertugas.

Beliau bekerja bersama pak ciknya selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) pada 1981.

Kini, beliau mengambil alih laluan itu pada tahun yang sama, selepas pak ciknya bersara.

Masa berlalu pantas pada awal pagi.

Pada 5.15 pagi, Encik Kumar mula membuat perjalanannya ke blok perumahan awam di Crawford Lane. 

Beliau pantas berjalan naik dan turun jalan yang berselirat, meletakkan surat khabar di depan pintu penduduk.

“Saya bertemu mereka sebulan sekali untuk memungut bayaran penghantaran, dan beberapa daripada mereka memberitahu saya kebimbangan mereka terhadap kenaikan harga penghantaran,” kata beliau, merujuk kepada kebanyakan warga tua masih bergantung pada media cetak untuk mendapatkan berita.

Ditanya sama ada beliau berasa seperti penghantar dan penghubung kepada dunia luar untuk golongan ini, beliau bersetuju sambil berkata:

“Saya lebih berasakannnya semasa pandemik Covid-19, ketika ramai daripada mereka terkurung di rumah, dan bergantung pada saya untuk mendapatkan berita.”

Beliau kembali ke perhentian bas untuk mengambil surat khabar sekali lagi sebelum menyelesaikan pusingan terakhir penghantaran pada sekitar 6.45 pagi.

Selepas itu, ketika minum kopi dan makan roti bakar di tempat sarapan kegemaran Encik Kumar, wartawan foto ST, Mark Cheong, memberitahunya bahawa beliau telah meliputi kira-kira 22 kilometer, menurut aplikasi telefon penjejakan jarak.

“Ia memenatkan – bukan senang seperti orang sangkakan,” kongsinya.

Sebelum berpisah, beliau berkata sambil tertawa: “Ketika isteri saya bersalin anak kedua saya, saya menempah teksi untuknya dan selepas itu memilih untuk pergi bekerja.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >