SEORANG wanita, 22 tahun, tidak dibenar keluar rumah selepas diberikan sijil perubatan (MC) kerana mengalami jangkitan pernafasan akut.
Namun Norliana Hazuliani melanggar arahan itu, dengan mendakwa bahawa dia tidak boleh duduk serumah dengan ibunya di rumah.
Warga Singapura itu, yang dijatuhkan hukuman penjara selama tiga minggu kelmarin, melakukan sedemikian walaupun dia perlu memakai teg elektronik atau e-teg, dan dipantau selepas melakukan kesalahan lain sebelum ini, termasuk mencuri.
Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan gagal mematuhi Arahan Duduk Di Rumah Covid-19.
Satu lagi tuduhan serupa dan satu lagi tuduhan bagi mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan juga dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Mahkamah diberitahu bahawa Norliana mengunjungi Poliklinik Clementi pada 10 Oktober tahun lalu kerana dia mengalami batuk dan selesema.
Dia diberikan MC selama empat hari dan diberitahu untuk tidak meninggalkan rumah semasa tempoh itu, kecuali setelah dia menerima keputusan negatif bagi ujian swab Covid-19.
Tetapi, dia meninggalkan rumah pada hari yang sama MC itu diberikan.
Dia keluar rumah untuk selama hampir 12 jam antara 10 dengan 11 Oktober tahun lalu.
Dia mengambil pengangkutan awam dan kereta sewa privet untuk mengunjungi enam kawasan dekat flat perumahan awam di Jurong, Clementi, Sengkang dan Bedok.
Norliana hanya menerima keputusan negatif bagi ujian swab Covid-19 pada 13 Oktober.
Timbalan Pendakwa Awam Matthew Chong mengatakan alasannya untuk meninggalkan rumah bagi mengelak ibunya adalah "sembrono" dan bahawa dia menunjukkan "terang-terangan tidak mematuhi undang-undang".
"Tertuduh melepak di sekurang-kurangnya enam tempat awam selama hampir 12 jam...(Dia) pergi ke sekitar blok kediaman, di mana mungkin ada orang tua dan anak-anak yang rentan terhadap Covid-19," katanya.
Beliau menambah bahawa Norliana "ditangkap ketika melakukan kesalahan" dan tidak mempunyai pilihan selain mengakui kesalahannya kerana tindakannya dirakam pada alat e-teg.
Bagi setiap tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, dia boleh dipenjara hingga enam bulan, denda hingga $10,000, atau kedua-duanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg