Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita 68 tahun mati akibat kecederaan dalam langgar lari di Pasir Ris

Feb 5, 2023 | 8:48 PM
Mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan di simpang jalan Pasir Ris Drive 6 dan Pasir Ris Drive 1 pada 27 Januari.
Mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan di simpang jalan Pasir Ris Drive 6 dan Pasir Ris Drive 1 pada 27 Januari. - GOOGLEMAP

Seorang wanita berusia 68 tahun yang terlibat dalam kemalangan langgar lari di Pasir Ris telah meninggal dunia akibat kecederaannya selepas dikejarkan ke hospital.

Wanita itu, seorang pejalan kaki, didakwa dirempuh oleh seorang pemandu van, kata polis apabila ditanya mengenai kejadian itu.

Pemandu lelaki berusia 60 tahun itu telah ditahan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian, tambah polis.

Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kemalangan membabitkan sebuah van dan pejalan kaki di simpang Pasir Ris Drive 6 dan Pasir Ris Drive 1 pada 27 Jan pada 6.05 pagi.

Wanita itu dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital tetapi kemudian meninggal dunia, kata polis.

Dalam catatan Facebook pada Sabtu (4 Feb), anak perempuan wanita itu membuat rayuan kepada orang ramai untuk menghubunginya atau polis jika mereka mempunyai sebarang butiran mengenai kemalangan itu.

Akhbar Cina Lianhe Zaobao melaporkan bahawa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia tiba di tempat kejadian dan membawa seorang ke Hospital Besar Changi.

Ia menambah bahawa anak perempuan wanita itu, Cik Lin Xiuyun berada di Sweden apabila mendapat berita tentang kemalangan itu daripada bapa saudaranya.

Beliau yang bekerja sebagai perunding dan berpangkalan di Sweden, kemudian segera pulang ke Singapura dan tiba pada 29 Januari.

Laporan itu mengatakan bahawa sejak tiba di Singapura, Cik Lin telah melawat tapak kemalangan itu setiap hari, dengan harapan dapat mencari lebih banyak saksi yang boleh memberikan butiran lanjut.

Cik Lin memberitahu Lianhe Zaobao bahawa telah berpisah dengan ibunya selama tiga tahun kerana wabak Covid-19, tetapi mempunyai rancangan untuk melawat Singapura pada Mac, sebelum kembali ke Sweden pada Julai bersamanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg