Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita 90 tahun seberangi Tambak untuk temui semula anak perempuan yang diberi kepada keluarga Melayu

Dec 30, 2022 | 12:38 AM
Foto FACEBOOK CIK JOSEPHINE NG
Foto FACEBOOK CIK JOSEPHINE NG -

CIK Teng Ek Kiew, 90 tahun, sedang duduk di kerusi rodanya di lobi hotel sambil memandang ke jalan raya sekitar Kuala Lumpur apabila beliau terkejut dengan sentuhan tangan seseorang.

Apabila beliau menyedari tangan itu adalah tangan anak perempuannya yang telah lama hilang, beliau menggenggam tangan wanita itu sambil matanya bergenangan.

Sudah 58 tahun berlalu sejak kali terakhir beliau menyentuh anak perempuannya Cik Hamsiah Mohamad.

Setelah menyambung semula hubungan mereka pada September 2022, Cik Teng dan lima daripada enam anaknya ke seberang Tambak pada 5 Disember untuk bertemu Cik Hamsiah, yang telah diserahkan untuk dijadikan anak angkat sebuah keluarga Melayu-Islam pada 1964.

The Straits Times melaporkan pada September bahawa anak Cik Teng, Encik Ling Kok Ong, 66 tahun, dan isterinya, Cik Josephine Ng, 62 tahun, menjejaki Cik Hamsiah di Bukit Payong, Terengganu, dengan bantuan Persatuan Sejarah Malaysia di Dungun.

Apabila ditanya mengenai perjumpaan itu, Cik Teng yang pendiam itu tersenyum, sambil menunjukkan ibu jarinya (tanda bagus) dan berkata:

"Dia telah dewasa dan menjadi seorang yang sangat baik."

Cik Teng, seorang suri rumah dan nenek, menyerahkan anak perempuannya untuk diambil sebagai anak angkat ketika beliau menetap di sebuah kampung di Bukit Besi, Terengganu, kira-kira 400 kilometer dari hotel tempat mereka bertemu semula.

Pada 1964, Cik Teng, yang sudah mempunyai lima lagi anak, memenuhi permintaan sebuah keluarga Melayu yang terkemuka di kampung mereka selepas mereka tidak henti-henti merayunya untuk memberikan anak perempuannya yang baru lahir itu.

Keluarga Cik Teng berpindah ke Singapura pada 1969.

Selepas Encik Ling dan Cik Ng bertemu Cik Hamsiah pada 4 September di sebuah kedai kopi miliknya di Taman Tasek, Bukit Payong, mereka memperkenalkan Cik Teng kepada Cik Hamsiah melalui panggilan video, dan kedua-duanya kerap bersembang.

Selepas berbulan-bulan merancang, mereka sekeluarga disatukan semula pada 5 Disember ketika keluarga Encik Ling mengadakan lawatan empat hari ke Kuala Lumpur.

Cik Hamsiah membawa dua anaknya, cucu perempuan dan saudara mara lain untuk bertemu keluarga kandungnya, manakala suaminya mengusahakan kedai kopi itu.

Suami Cik Teng, Encik Ling Ek Koon meninggal dunia pada 1989.

Cik Teng memuji kemahiran memasak Cik Hamsiah, sambil mengingati popia segar yang dibuat oleh anak perempuannya itu untuknya dan dibawa ke perjumpaan semula mereka.

Kini terdapat rancangan untuk Cik Hamsiah melawat Singapura selepas Tahun Baru Cina. Sehingga itu, ibu dan anak perempuan seronok bersembang beberapa kali seminggu.

Semasa akhbar The Straits Times melawat Cik Teng di flat Ubi pada pertengahan Disember, anak-anaknya yang berumur 54 hingga 68 tahun, tiba tidak lama kemudian.

Mereka melawatnya hampir setiap hari.

Cik Teng menerima panggilan itu dan tersenyum lebar apabila melihat nama "Hamsiah" tertera pada telefonnya.

Beliau sudah lupa berbahasa Melayu, jadi perbualan antaranya dan Cik Hamsiah diterjemahkan melalui anak dan menantunya ke dalam bahasa Inggeris yang mudah.

Sepanjang panggilan video itu, Cik Hamsiah menunjukkan keluarga Ling anak perempuannya yang sedang membuat roti canai di dapur, apabila kemeriahan di flat itu semakin terasa.

Tetapi Cik Teng puas hanya dengan duduk diam dan tersenyum apabila anak-anaknya berkumpul di sekeliling telefonnya dengan rasa teruja untuk bercakap dengan kakak dan anak saudara mereka yang baru ditemui itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg