Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita, bayi ditemui mati di kaki blok pada 2023: Ibu bimbang pertumbuhan anak: Polis

Jul 23, 2024 | 7:11 PM
Koroner masih menyiasat kes kematian seorang ibu dan anak perempuannya berusia setahun yang ditemui di kaki sebuah blok HDB pada 2023.
Koroner masih menyiasat kes kematian seorang ibu dan anak perempuannya berusia setahun yang ditemui di kaki sebuah blok HDB pada 2023. - Foto Pixabay

Seorang ibu, yang ditemui mati bersama anak perempuannya yang berusia setahun di kaki flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 2023, dikatakan bimbang tentang perkembangan bayinya.

Suami wanita itu menyedari isterinya murung dan tidak bersemangat di rumah. Beliau juga sering berbaring di atas katil bersama anak perempuan mereka.

Pada petang 5 November 2023, beliau pulang dari gereja dan menemui mayat mereka di kaki blok.

Pada 23 Julai, siasatan koroner dijalankan terhadap kematian itu.

Memandangkan wanita itu mempunyai seorang anak lelaki yang masih hidup, Koroner Negara Adam Nakhoda mengenakan perintah identiti ibu dan anak perempuannya, ahli keluarga dan alamat mereka tidak didedahkan, lapor The Straits Times.

Pegawai penyiasat polis (IO) Clarice Koh, saksi tunggal dalam siasatan itu, memberitahu mahkamah bahawa keluarga itu tinggal di flat HDB.

Kira-kira 10 pagi pada hari kejadian, suami wanita itu menyedari isterinya tidak bersiap untuk ke gereja.

Wanita itu berkata beliau akan tinggal di rumah kerana bayinya tidak sihat. Suaminya kemudian pergi bersama anak lelaki mereka, yang berkeras hendak ke gereja.

Dalam perjalanan, lelaki itu menghantar pesanan ringkas kepada isterinya, tetapi tidak dibalas. Beliau tidak mendapatinya luar biasa, kerana wanita itu biasanya tidak akan menggunakan telefon semasa menjaga anak perempuan mereka.

Kira-kira 12.35 tengah hari, seorang penduduk yang sedang menyidai pakaian di luar balkoni melihat sesuatu jatuh, satu demi satu, dan terdengar dentuman kuat.

Dia melihat ibu dan anak itu di atas tanah, lalu menghubungi polis.

Kedua-dua ibu dan anak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Si suami pulang kira-kira 1.30 petang dan ternampak kepungan polis di kaki bloknya.

Menyedari isteri dan anak perempuannya tiada di rumah, beliau bertanya kepada polis di tingkat bawah jika terdapat dua mayat. Polis menunjukkan kepadanya gambar dan beliau mengesahkan identiti mereka.

IO Koh berkata, si suami perasan isterinya mudah naik angin selepas melahirkan anak lelaki mereka pada 2019. Kemarahan itu reda selepas dua tahun.

Selepas anak perempuan mereka dilahirkan, isterinya bimbang kerana pada pemeriksaan satu tahun, perkembangan dan berat badan bayi itu didapati tidak mencukupi.

IO Koh berkata, dalam kedua-dua pemeriksaan hospital selepas melahirkan anak, wanita itu tidak menunjukkan tanda-tanda masalah mental dan dianggap tidak berisiko mengalami kemurungan selepas bersalin.

Polis tidak mengesyaki ada unsur jenayah.

Koroner negara akan menyampaikan dapatannya pada 22 Ogos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg