Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita didakwa dera pembantu rumah selepas gagal 'tutup' kesalahan dengan bedak

Jan 5, 2023 | 5:30 AM
KESALAHAN DIBONGKAR: Deepakala Chandra Secharan menafikan memukul Cik Eni. Menurut dokumen mahkamah, dia sebaliknya mendakwa kecederaan pembantu rumah itu dilakukan sendiri. - Foto BH oleh KELVIN CHNG
KESALAHAN DIBONGKAR: Deepakala Chandra Secharan menafikan memukul Cik Eni. Menurut dokumen mahkamah, dia sebaliknya mendakwa kecederaan pembantu rumah itu dilakukan sendiri. - Foto BH oleh KELVIN CHNG -

BEDAK tidak dapat menyembunyikan kesalahan.

Begitulah yang akhirnya disedari seorang wanita yang mendera pembantu rumahnya.

Untuk menutup kesalahannya itu, dia telah menggunakan bedak asas pada muka mangsa bagi menutup kesan lebam apabila polis tiba di rumahnya.

Kesalahan Deepakala Chandra Secharan itu terbongkar apabila seorang pegawai polis kemudian menyedari mangsa, Cik Eni Agustin, mempunyai bedak asas yang tebal di mukanya.

Lebam tersebut timbul apabila Cik Eni membersihkan mekap itu pada wajahnya. Beliau kemudian memberitahu polis tentang pengalaman pahit yang dialaminya.

Semalam, Hakim Daerah Ow Yong Tuck Leong mensabitkan Deepakala, 38 tahun, atas tiga tuduhan serangan melibatkan Cik Eni menyusuli perbicaraan.

Dalam hujahan mereka, Timbalan Pendakwa Raya Yang Ziliang dan Chong Ee Hsiun berkata Cik Eni mula bekerja di flat Woodlands Deepakala pada 9 Disember 2019.

Beliau didera 16 hari kemudian apabila beliau mencampurkan beberapa sudu garpu semasa sedang meletakkannya dalam laci dapur.

Deepakala menjadi marah apabila dia melihat perkara itu dan berulang kali menunjal dahi Cik Eni dengan jari telunjuknya, menyebabkan calar.

Pada 23 April 2020, dia menggunakan penyangkut baju kayu untuk memukul Cik Eni sehingga ia patah.

Keesokannya, Deepakala berang apabila pembantu rumahnya tidak dapat jumpa pita pelekat.

Pendakwa raya tersebut berkata: "Tertuduh kemudian mengambil gulungan pita pelekat yang hampir habis... dan memukul dahi mangsa dengannya."

Dia kemudian bertanya kepada Cik Eni berapa lama masa yang diperlukan untuk membersihkan laluan di flat itu.

Apabila pembantu rumah itu menjawab ia akan mengambil masa 30 minit, Deepakala marah dan menampar pipi Cik Eni berkali-kali.

Dia berhenti hanya selepas suaminya memisahkan mereka.

Deepakala kemudiannya memukul lengan kanan dan belakang pembantu rumah itu dengan kayu.

Pada 25 April 2020, Cik Eni sedang menyidai pakaian dari tingkap dapur di tingkat lapan apabila seorang lagi pembantu rumah di unit bawah melihat beliau.

DPP berkata pembantu rumah di unit bawah itu memberi isyarat untuk bertanya mengapa Cik Eni mempunyai lebam di muka, dan Cik Eni menjawab dengan menunjukkan gerakan memukul diri sendiri untuk menunjukkan majikannya telah memukul beliau.

Pembantu rumah di unit bawah itu menghubungi Pusat Pekerja Domestik, yang kemudian memaklumkan polis, dan pegawai tiba di flat Deepakala pada hari itu.

Deepakala, yang diwakili peguam Kalaithasan Karuppaya, menafikan memukul Cik Eni. Menurut dokumen mahkamah, dia sebaliknya mendakwa kecederaan pembantu rumah itu dilakukan sendiri.

Mitigasi dan hukuman Deepakala akan berlangsung pada 6 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg