DUA penyewa wanita yang tinggal di sebuah unit kedai rumah di Jalan Besar sering bergaduh kerana tidak mesra apabila bergaul bersama.
Hubungan mereka semakin tegang apabila Yeap Kim Ngoh, kini 74 tahun, menyimbah sup panas ke atas Cik Jin Pingping hingga mangsa cedera pada 4 Februari 2020.
Pada masa itu, Yeap mempunyai hubungan bersama tuan rumah. Pihak pendakwa berkata sebelum kejadian itu, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Cik Jin juga teman wanita tuan rumah tersebut.
"Ini merumitkan situasi antara mereka," kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Joseph Gwee. Usia Cik Jin dan tuan tanah tidak pula didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Mahkamah diberitahu bahawa Cik Jin, yang tidak bekerja, mengalami kesakitan selama sebulan akibat kejadian itu.
Selepas perbicaraan semalam, Hakim Daerah Chay Yuen Fatt mendapati Yeap bersalah kerana menggunakan sesuatu yang dipanaskan untuk mencederakan mangsanya secara sengaja.
DPP Gwee berkata dalam hujahnya: "Terdapat sedikit rasa tidak senang antara mereka berdua sejak mereka berkenalan, dan bukti daripada kededua pihak adalah mereka akan mengelak daripada bertembung supaya tidak bergaduh."
DPP Gwee menambah bahawa pihak pembela berhujah tertuduh tidak sengaja menyimbah sup ke atas Cik Jin kerana terperanjat dan menjelaskan bahawa sup itu bukan dalam keadaan mendidih.
Sebelum mensabitkan kesalahan terhadap Yeap, Hakim Chay berkata beliau tidak mendapatinya sebagai saksi yang boleh dipercayai.
Mitigasi dan hukumannya akan diadakan pada 30 Jun.
Atas kesalahan menyebabkan kecederaan secara sengaja dengan bahan yang dipanaskan, pesalah boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan denda atau rotan. Lelaki dan wanita berusia lebih 50 tahun tidak boleh dirotan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg