Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita didedahkan kepada latihan NS dalam ‘boot camp’

Peserta diharap jadi penyokong Pertahanan Mutlak dan mainkan peranan lindungi keamanan S’pura
Dec 7, 2024 | 5:46 PM
Encik Zaqy Mohamad (barisan depan, tengah) bersama peserta ‘Boot Camp’ Wanita di Kem Maju yang diadakan pada 7 dan 8 Disember.
Encik Zaqy Mohamad (barisan depan, tengah) bersama peserta ‘Boot Camp’ Wanita di Kem Maju yang diadakan pada 7 dan 8 Disember. - Foto MINDEF

Seramai 57 wanita menyertai satu latihan tentera di Kem Maju pada 7 dan 8 Disember di bawah satu program yang bertujuan mendedahkan mereka kepada latihan Perkhidmatan Negara (NS).

Edisi kelima ‘Boot Camp’ Wanita (WBC) itu menawarkan beberapa kegiatan berdasarkan Latihan Tentera Asas yang diubah suai untuk program tersebut, menurut satu kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada 7 Disember.

Sebagai sebahagian daripada kem tersebut, peserta wanita belajar mengendali senapang Sar-21, menyertai balapan berhalangan standard atau Standard Obstacle Course (SOC), mencuba makanan yang diberi semasa bertempur dan menyertai perarakan sepanjang dua kilometer.

Peserta mencuba balapan berhalangan standard atau Standard Obstacle Course (SOC) sebagai sebahagian daripada kem tersebut.
Peserta mencuba balapan berhalangan standard atau Standard Obstacle Course (SOC) sebagai sebahagian daripada kem tersebut. - Foto MINDEF

Mereka juga diberi peluang untuk tidur dalam khemah serta diperkenalkan kepada Kenderaan Pengangkut Infantri Terrex dan Kenderaan Sokongan Tempur Terlindung Belrex (PCSV) dalam kem itu.

Program itu turut menerapkan sesi yang membincangkan kesan isu semasa kepada Singapura, serta meneroka cara individu, masyarakat dan perniagaan boleh mempersiap diri bagi krisis dan gangguan.

Menghadiri kem itu sebagai tetamu terhormat, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata sokongan kukuh terhadap Perkhidmatan Negara dan Pertahanan Mutlak (TD) adalah asas kepada pertahanan Singapura.

Beliau juga melahirkan harapan agar peserta WBC akan menjadi penyokong TD dan memainkan peranan melindungi keamanan Singapura.

WBC ialah sebahagian daripada Program Penyerapan Pertahanan (DIP).

Pada Disember 2023, Majlis Penasihat Perhubungan Masyarakat dalam Pertahanan (Accord) Majlis Keluarga dan Masyarakat disokong oleh Kor Sukarelawan Angkatan Bersenjata Singapura, Angkatan Laut Republik Singapura, Angkatan Udara Republik Singapura serta Perkhidmatan Digital dan Perisikan, meluaskan WBC menjadi program penuh DIP untuk menawarkan pengalaman merentas pelbagai khidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

DIP pada 2024 termasuk lawatan ke Pangkalan Udara Paya Lebar dan Pangkalan Tentera Laut Changi.

Inisiatif dipertingkat itu bertujuan memberi golongan wanita pemahaman lebih baik mengenai keupayaan SAF dan cara menyumbang kepada TD dan NS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg