Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita dipenjara buat tuduhan palsu ke atas pegawai SFA

Sep 13, 2022 | 5:30 AM
DIPENJARA: Wang Shu dijatuhi hukuman penjara empat minggu kerana mengancam penjawat awam dengan tuduhan palsu mencabul kehormatan. - Foto BH oleh KELVIN CHNG
DIPENJARA: Wang Shu dijatuhi hukuman penjara empat minggu kerana mengancam penjawat awam dengan tuduhan palsu mencabul kehormatan. - Foto BH oleh KELVIN CHNG -

SEORANG wanita semalam dijatuhi hukuman penjara empat minggu kerana mengancam penjawat awam dengan tuduhan palsu mencabul kehormatan, dan didenda $5,000 kerana mengimport produk makanan secara haram dan mengiklankan jualan dalam talian.

Siasatan Agensi Makanan Singapura (SFA) mendapati Wang Shu, 41 tahun, mengimport secara haram, sekitar 36 kilogram produk makanan, termasuk pelbagai produk daging seperti sosej, dendeng daging dan telur itik masin, yang kemudian dirampas.

Dia juga mengiklankan produk daging yang diimport secara haram untuk dijual di akaun Facebooknya.

Pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang sebelum ini telah mengesan konsainan haram itu pada 28 Julai 2020, dan merujuk kes itu kepada SFA, kata agensi itu dalam satu kenyataan bersama semalam.

Pada 29 Oktober 2020, polis dimaklumkan bahawa Wang telah mengurung seorang pegawai SFA di dalam bilik di pejabatnya dan mengancam untuk membuat tuduhan palsu dia dicabul kehormatan jika pegawai itu tidak menyerahkan kenyataan siasatan yang diambil daripadanya.

Apabila pegawai itu hendak meninggalkan bilik, Wang berdiri di hadapan pintu untuk menghalangnya daripada keluar.

Dia kemudian menjerit "rogol" apabila pegawai itu tidak mengendahkan permintaan untuk menyerahkan kenyataan itu.

Daging dan produknya hanya boleh diimport dari sumber bertauliah di negara yang diluluskan yang mematuhi piawaian dan keperluan keselamatan makanan Singapura.

Mereka yang didapati bersalah mengimport produk daging secara haram boleh didenda sehingga $50,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah berulang, mereka boleh didenda sehingga $100,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi ugutan mencederakan pegawai awam mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg