WANITA yang dirakam dalam video tular enggan menggunakan pelitup di resort bersepadu Marina Bay Sands (MBS) didakwa bagi 14 lagi kesalahan pada Selasa (6 Julai).
Ini termasuk 10 kesalahan gagal menggunakan pelitup di tempat awam dan empat tuduhan melanggar Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari, tahun lalu.
Justeru, Phoon Chiu Yoke, kini berdepan dengan 21 dakwaan keseluruhannya, lapor akhbar The Straits Times.
Awal sebelum ini, wanita 53 tahun itu didakwa atas beberapa kesalahan termasuk kegagalan menggunakan pelitup di luar bangunan Mahkamah Negara.
Kesnya telah ditangguh kepada 23 Julai. Jumlah ikat jaminnya juga telah ditambah dari $8,000 kepada $12,000.
Phoon dikatakan gagal menggunakan pelitup bagi menutupi hidung dan mulutnya setiap masa di pusat makanan Newton antara 7.20 malam hingga 8 malam pada 8 Mei tahun lalu.
Dia juga tidak menggunakan pelitup di MBS dan Pasar Tiong Bahru buat beberapa kali antara 8 Mei tahun lalu dengan 24 Mei tahun ini.
Bagi pelanggaran SHN di MBS, Phoon dikatakan melanggarnya sebanyak lima kali antara 28 Jun dengan 12 Julai tahun lalu.
Dia meninggalkan biliknya dua kali pada 8 Julai dan sekali bagi setiap hari berikut - 28 Jun, 5 Julai dan 9 Julai.
Pihak pendakwa, pada Selasa, meminta ikat jaminnya ditambah kerana dia gagal menjawab panggilan dan e-mel daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang memintanya membantu dalam siasatan.
Phoon juga enggan berbual dengan pegawai ICA yang menemuinya sebelum sesi perbicaraan diadakan.
Mahkamah diberitahu dia disiasat atas kesalahan yang dilakukan selepas kehadirannya di mahkamah pada 15 Jun lalu.
Dia diminta mematuhi langkah Covid-19, kondisi baginya dibebaskan dengan ikat jamin, tetapi gagal berbuat demikian.
Phoon yang tidak diwakili peguam berkata dia akan menjawab permintaan ICA jika agensi itu mengirim surat bertulis atau kiriman pos berdaftar ke alamat rumahnya.
Dia menjelaskan dia tidak memberi alamat e-melnya kepada mana-mana pegawai ICA dan tidak berbual dengan pegawai di luar bilik mahkamah kerana pegawai berkenaan sangat berkasar dengannya.
Phoon juga menggesa pihak pendakwa agar menggugurkan tuduhan baru ke atasnya dengan mengatakan dia mengalami masalah kulit atau ekzema dan kadangkala payah bernafas, sebab-sebab mengapa dia tidak menggunakan pelitup.
Kisah Phoon menarik perhatian ramai di media sosial pada Mei tahun ini apabila dia dirakam dalam video tanpa menggunakan pelitup serta pertengkarannya dengan duta jarak selamat.
Pesalah kali pertama yang melanggar undang-undang di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara) boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $10,000.
Pesalah berulang boleh dipenjara hingga setahun dan didenda hingga $20,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg