SEORANG wanita akan ditahan bagi tempoh masa yang tidak terbatas setelah didapati berkali-kali menikam leher dan tubuh anak perempuan sulungnya.
Dia bertindak sedemikian selepas mendengar suara yang memberitahunya bahawa kanak-kanak berusia lapan tahun itu merupakan roh yang jahat.
Mahkamah Tinggi semalam mendapati wanita berusia 36 tahun itu telah membunuh anak perempuannya itu pada 10 Ogos 2021, di sebuah unit kediaman di Geylang Lorong 31.
Wanita itu mempunyai seorang lagi anak perempuan yang lebih muda dan mereka bertiga tinggal bersama ahli keluarga wanita itu dan berkongsi satu bilik di unit tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan wanita tersebut daripada tuduhan membunuh kerana ketidakupayaan mentalnya.
Wanita itu, yang tidak boleh dinamakan kerana perintah mahkamah, disahkan menghidap skizofrenia dan didapati tidak waras ketika pembunuhan berlaku.
Di bawah Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah harus memerintahkan yang tertuduh ditahan dalam jagaan selamat dan kes itu dilaporkan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Undang-undang menyatakan bahawa menteri boleh memerintahkan orang itu ditahan di institusi psikiatri, penjara atau tempat tahanan selamat lain yang sesuai dengan kehendak Presiden.
Wanita itu dilaporkan mula mendengar suara pada Mac 2021.
Suara-suara itu menjadi lebih kuat dari masa ke semasa, memberitahu dia bahawa makanan dan airnya telah diracuni dan bahawa anak sulungnya merupakan roh jahat.
Ahli keluarganya juga perasan yang dia berkelakuan pelik.
Dia percaya telefon dan komputer ribanya telah digodam dan orang ramai sedang mengikutinya dan cuba mencederakannya.
Dua hari sebelum pembunuhan berlaku, wanita itu berkelakuan tidak menentu dan telah dirakam kamera pengawasan di mana dia telah menaiki MRT tanpa hala tujuan.
Pada pagi 10 Ogos 2021, dia mula meracau dan menyebut nama-nama tokoh sejarah Cina.
Ahli keluarga wanita itu kemudian mendengar tangisan kededua anak gadisnya dan kemudian mendapati anak sulungnya itu tidak bergerak di atas lantai sementara wanita itu tidak berpakaian dan memegang sebilah gunting.
Abang kepada wanita berkenaan kemudian melihat sebilah pisau berlumuran darah di atas lantai dan melemparkannya ke arah dapur sementara isterinya menghubungi polis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg