SEORANG wanita didakwa mengambil maklumat peribadi lebih 50 individu dan menggunakannya untuk mengambil pelitup muka.
Koh Pek Keang, 42 tahun, seorang warga Malaysia, berdepan satu tuduhan mendapatkan maklumat peribadi secara haram dan satu lagi tuduhan menipu serta mendorong penghantaran harta benda secara tidak jujur.
Menurut laporan The Straits Times, Koh mendapatkan nombor kad pengenalan peribadi (IC), tarikh lahir dan alamat rumah 54 orang di Balai Rakyat Clementi pada 30 November tahun lalu.
Dia kemudian menggunakan maklumat tersebut untuk mengambil 54 paket pelitup daripada mesin layan diri Yayasan Temasek di balai rakyat tersebut.
Nilai keseluruhan pelitup itu sekitar $648.
Kes Koh telah ditangguh dan dia dijangka kembali ke mahkamah pada 6 Mei.
Koh kini dibebaskan dengan ikat jamin $10,000.
Jika disabit kesalahan mendapatkan maklumat peribadi secara tidak sah, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya.
Jika disabit menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg