SEBANYAK lima kes Covid-19 baru disahkan pada Ahad (27 Dis), dengan kesemuanya merupakan kes import. Ini termasuk kes melibatkan seorang pemegang permit kerja berusia 23 tahun yang telah menjalani notis jangan keluar rumah (SHN) di Mandarin Orchard Singapore sebelum dipindahkan ke satu lagi kemudahan khusus pada 20 Disember. Pada hari itu, Kementerian Kesihatan (MOH) memulakan siasatan ke atas 13 kes terdahulu yang telah menjalani SHN di hotel itu antara 22 Oktober dengan 11 November. 13 kes itu, yang datang dari 10 negara berbeza, dijangkiti oleh jenis koronavirus dengan "kesamaan genetik tinggi", yang menandakan bahawa jangkitan itu mungkin datang daripada satu sumber dan mungkin berlaku di hotel tersebut. Wanita warga Malaysia itu diuji pada 19 dan 21 Disember dan menunjukkan keputusan negatif. Ujian pada 24 Disember pada akhir SHN bagaimanapun memberi keputusan positif dan beliau dibawa ke hospital keesokan hari. Ujian pengesahan oleh Makmal Kesihatan Awam Nasional (NPHL) juga memberi keputusan positif. Tetapi sampel kedua yang diambil oleh NPHL pada Sabtu didapati negatif, dan ujian serologi, yang menentukan sama ada ia adalah jangkitan lama, juga memberi keputusan negatif. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada beliau berkait dengan 13 kes yang sedang disiasat oleh MOH. Wanita itu adalah pesakit Covid-19 ketiga yang disahkan positif setelah menjalani sebahagian SHN di Mandarin Orchard Singapore. Dua lagi kes diumumkan pada Jumaat dan Sabtu. Satu lagi kes import pada Ahad melibatkan penduduk tetap yang pulang dari Ukraine. Baki tiga kes melibatkan pembantu rumah asing yang memegang permit kerja. Sebanyak lapan kes telah sembuh dan dibenarkan pulang pada Ahad, menjadikan jumlah 58,355 yang telah pulih sejauh ini. Seramai 31 pesakit masih dirawat di hospital dan lagi 94 kes masih dipantau di kemudahan masyarakat. Sebanyak 29 kematian akibat komplikasi Covid-19 telah dilaporkan di Singapura sejauh ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg