SEORANG wanita 39 tahun dikatakan telah dua kali meninggalkan bilik hotelnya di mana beliau sedang menjalani notis duduk di rumah (SHN) dengan memanjat ke balkoni bilik berlainan.
Warga Singapura Jin Chensu dituduh atas dua dakwaan kerana gagal mengenakan pelitup di luar biliknya dan dua lagi dakwaan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan Covid-19.
Pengusa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata dalam satu kenyataan semalam bahawa Jin tiba ke Singapura dari Kemboja pada 4 Oktober lalu.
Dia perlu menjalani SHN pada hari yang sama dan sepatutnya berakhir pada 18 Oktober.
Jin juga telah diberitahu oleh seorang pegawai ICA yang dia perlu menjalani SHN di sebuah kemudahan khas dan tidak dibenarkan meninggalkan biliknya di sana.
Namun dia didakwa meninggalkan biliknya di hotel Shangri-la Rasa Sentosa Resort tanpa mengenakan pelitup sebanyak dua kali pada 6 dan 9 Oktober.
Pada 6 Oktober, Jin dikatakan telah memanjatkan ke balkoni satu lagi bilik di tingkat atas dan berada di sana selama lima minit sebelum kembali ke biliknya.
Dia juga dikatakan telah berlegar-legar di koridor pada 9 Oktober sebelum seorang staf hotel mendapatinya sekitar 25 minit kemudian. Dia kemudian ditemani balik ke biliknya.
Kelmarin, Hakim Daerah Lorraine Ho membenarkan permintaan pihak pendakwa untuk mengenakan tahanan reman terhadap Jin di Institut Kesihatan Mental (IMH) selama dua minggu bagi penilaian psikiatrik.
Hadir di mahkamah menerusi pautan video, Jin telah bertanyakan sama ada pakar psikiatrik peribadinya sebaliknya menilainya semasa di IMH.
Kesnya akan didengar lagi pada 13 Ogos.
Bagi setiap kesalahan mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan Covid-19, Jin boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
Dia juga boleh diberikan hukuman yang sama bagi setiap kesalahan gagal memakai pelitup di luar tempat penginapannya.
Dalam satu kenyataan, ICA berkata: "Pematuhan ketat dengan peraturan SHN adalah kunci dalam melindungi kesihatan dan keselamatan penduduk negara."
Bagi melaporkan maklumat tentang sesiapa yang gagal mematuhi peraturan SHN, orang ramai boleh melungsuri laman web Melaporkan Pelanggaran SHN, ICA atau hubungi 6812-5555.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg