SEORANG wanita yang didakwa tidak memakai pelitup di pasar raya Shunfu Mart berdekatan Upper Thomson Road sewaktu tempoh wabak koronavirus ini telah hadir di mahkamah pada Selasa (5 Mei) dan didakwa atas beberapa tuduhan.
Paramjeet Kaur, 40 tahun, menghadapi satu tuduhan mengganggu kententeraman orang ramai dan juga beberapa tuduhan lain di bawah Akta Covid-19 (Langkah Sementara) 2020, lapor The Straits Times (ST). Kaur diwakili peguam Satwant Singh, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau ingin menasihati kliennya mengenai undang-undang itu.
Dilihat hadir di mahkamah menerusi talian video dan sedang memakai pelitup di bahagian dagu, Kaur berkata:
"Saya merupakan seorang wanita yang hidup dan itu adalah keupayaan saya bagi urusan ini. Saya ingin menghulurkan imuniti hak berdaulat saya kepada Satwant dan menyuruhnya untuk mewakili saya."
Kes wanita warga setempat itu telah menarik perhatian orang ramai setelah rakaman video yang menunjukkan dia bertengkar dengan orang awam dan dilihat tidak memakai pelitup di pasar raya Shunfu Mart itu tular dalam talian pada tengah hari Ahad lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg