Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita tonton konsert Taylor Swift dihalau selepas tiket didapati milik orang lain

Mar 6, 2024 | 5:28 PM
Cik Nursyabilla Sreef Udin (kanan), kecewa apabila beliau diminta keluar dari konsert Taylor Swift di OCBC Arena pada 4 Mac kerana tiketnya didapati dimiliki beberapa orang lain.
Cik Nursyabilla Sreef Udin (kanan), kecewa apabila beliau diminta keluar dari konsert Taylor Swift di OCBC Arena pada 4 Mac kerana tiketnya didapati dimiliki beberapa orang lain. - Foto TikTok/cruel.blue

Cik Nursyabilla Sreef Udin, berasa hampa apabila beliau gagal mendapat tiket konsert Taylor Swift di Singapura, apabila ia mula dijual di sini pada Julai 2023.

Namun pada Januari lalu, peminat berusia 27 tahun itu, dipenuhi rasa ghairah, apabila beliau berjaya mendapatkan satu tiket jual semula kelas VIP 2 menerusi seorang teman pada harga $750, hampir persis harga runcitnya pada $748.

Selepas memasuki tempat acara pada 4 Mac dengan tiket tersebut, dan menikmati secubit permulaan konsert habis dijual di OCBC Arena itu, Cik Nursyabilla dihampakan sekali lagi.

Ini apabila beliau tiba-tiba dihalau dari tempat acara oleh pegawai keselamatan, kerana terdapat lagi dua orang didakwa memiliki tiket serupa.

“Saya hampir ditimpa serangan panik dan ia satu pengalaman yang sangat buruk!” katanya menerusi satu pos di TikTok.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Nursyabilla, berkata, sumber tiket yang dijual temannya itu, sebenarnya didapati menerusi platform jual semula tiket konsert dalam talian, Viagogo.

Viagogo adalah sebuah platform jual-beli elektronik antarabangsa bagi pengguna menjual atau membeli tiket acara tertentu seperti pertandingan sukan, persembahan muzik dan teater, antara lain.

Cik Nursyabilla, mendakwa tiket itu dipercayai telah mengganti pemilik beberapa kali, termasuk lagi dua individu di sini, sebelum ia dijual kepadanya.

Tinjauan BH mendapati, salah seorang daripada mereka, membuat pengakuan di media sosial, bahawa beliau telah membuat kesilapan dengan mengongsi tiket terbabit kepada dua lagi orang berasingan.

Ini selepas video yang menunjukkan pengalaman Cik Nursyabilla, menjadi tular di TikTok hingga menarik lebih 150,000 tontonan.

“Saya mendapat tiket ini menerusi seorang teman yang juga seorang peminat Taylor Swift dan kerap menganjurkan acara peminat serta membantu peminat lain mendapatkan tiket,” katanya.

“Teman saya itu pula berkata, beliau mendapat tiket itu menerusi seorang lagi penjual.

“Walaupun saya bukan pemilik asal tiket itu, saya merupakan individu pertama yang berjaya mengimbas tiket tersebut untuk memasuki tempat acara kerana saya tiba di situ lebih awal,” jelasnya kepada BH.

“Namun saya diberitahu ada lagi dua penonton lain yang kemudian cuba mengimbas tiket yang sama, tetapi menghadapi masalah, lantas menarik perhatian pegawai keselamatan yang kemudian mencari saya di tempat duduk itu dan menemani saya keluar dari konsert itu.”

Cik Nursyabilla mendakwa, beliau dan dua pemegang tiket itu kemudian diminta membuat laporan polis sejurus mereka ditemani keluar dari tempat acara.

Dalam senarai syarat kemasukan konsert itu, pengurus acara, Kallang Allive Sport Management (KASM) dalam lamannya berkata, pemilikan tiket tidak boleh dialih.

“KASM mempunyai hak untuk memeriksa identiti sebarang pemegang tiket sewaktu kemasukan atau di dalam tempat acara,” katanya.

KASM juga berkata, ia mempunyai hak untuk melarang kemasukan, ataupun meminta keluar sebarang individu dari dalam tempat acara, atas beberapa syarat termasuk, namun tidak terhad kepada; tiket yang didapati rosak, ditiru, atau tidak dibeli menerusi Box Office atau secara dalam talian menerusi pengendali penjualan tiket rasmi, antara lain.

Tinjauan rambang BH dengan beberapa penonton konsert di sini menyatakan, rata-ratanya, penggunaan tiket jual-semula, meskipun ia dimiliki atas nama orang lain, tidak mendatangkan sebarang masalah, kecuali apabila tiket itu didapati palsu, tiruan, atau dimiliki lebih daripada satu orang.

Bagaimanapun dalam laporan media terdahulu, pengendali konsert berkata, perbuatan sedemikian tidak memberi jaminan kepada penonton bahawa mereka akan memperoleh tiket yang sah.

Sebaiknya, pengendali konsert menasihatkan penonton menempah tiket daripada penganjur, secara langsung.

Namun mujur, menurut Cik Nursyabilla, beliau berjaya mendapatkan semula wangnya berjumlah $750, kerana temannya yang menjual tiket itu kepadanya berasa simpati atas pengalaman buruk itu.

“Tapi saya pula rasa kasihan terhadap teman saya itu. Sekarang beliau pula yang kehilangan wang dan beliau pun tak bersalah sebab beliau mendapatkan tiket itu daripada orang lain dengan pengetahuan ia tiket yang sah dan tunggal,” katanya.

Berkait dengan hal ini, salah seorang pengguna di Instagram, telah membuat pengakuan terhadap isu ini.

Seorang pengguna di Instagram, dipercayai bertanggungjawab atas penjualan tiket yang dibeli Cik Nursyabilla, membuat pengakuan menerusi Instagram Stories.
Seorang pengguna di Instagram, dipercayai bertanggungjawab atas penjualan tiket yang dibeli Cik Nursyabilla, membuat pengakuan menerusi Instagram Stories. - Foto INSTAGRAM/losertaylorsversion

Dalam satu pos Instagram Stories, pengguna itu berkata, beliau telah “membuat kesilapan” atas penjualan tiket itu dan telah meminta maaf.

“Saya terkongsi tiket yang sama kepada dua orang lain, dan tiada sesiapa pun yang berjaya masuk tempat acara itu, kerana pegawai keselamatan membimbing mereka keluar.”

Pos itu didapati telah dipadamkan.

BH telah menghubungi pengguna Instagram itu dan polis bagi maklumat lanjut.

View post on TikTok
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg