SEORANG pemegang pas lawatan jangka pendek yang mempunyai sejarah perjalanan dari Vietnam di bawah Pas Kembara Udara merupakan kes masyarakat Covid-19 baru yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (27 Oktober).
Menurut MOH dalam kenyataannya pada Selasa malam, wanita warga Vietnam berusia 28 tahun itu adalah penjaga kepada seorang adik-beradiknya yang sudah menerima rawatan perubatan di Singapura bagi kondisi yang tiada kena mengena dengan koronavirus.
Wanita tersebut menjalani ujian Covid-19 setibanya di Singapura pada 10 Oktober dengan hasil ujian didapati negatif.
Namun, beliau kemudian mengalami tanda jangkitan pernafasan akut (ARI) pada 23 Oktober dan diuji positif Covid-19 di bawah ujian masyarakat yang dipertingkat bagi menguji individu berusia 13 tahun ke atas yang didapati mengalami ARI.
Selain kes masyarakat itu, MOH juga mengenal pasti enam kes import pada Selasa.
Empat daripadanya bekerja di Singapura buat masa ini - dua merupakan pemegang pas kerja yang mempunyai sejarah perjalanan dari Jepun dan Perancis; dan dua lagi pemegang permit kerja yang memiliki sejarah perjalanan dari Indonesia.
Lagi satu kes merupakan pemegang pas tanggungan dengan sejarah perjalanan dari United Kingdom.
Baki satu kes lagi adalah pemegang pas lawatan jangka pendek yang dibenarkan masuk ke Singapura bagi melawat anaknya yang merupakan Penduduk Tetap (PR) Singapura.
Kesemua kes import sudah diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setibanya di Singapura. Mereka diuji positif Covid-19 dalam tempoh SHN.
Tiada kes dormitori dikesan pada Selasa.
Manakala itu, empat kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat.
Sebanyak 43 kes pula masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan mantap atau kian pulih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg