Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Australia mengaku salah baling botol sebab kematian warga emas

Feb 26, 2022 | 5:30 AM
MENGAKU BERSALAH: Andrew Gosling mengaku membaling botol wain dari tingkat tujuh kondominium di Spottiswoode Park Road pada 2019 sehingga menyebabkan kematian Encik Nasiari Sunee, 73 tahun. - Foto fail
MENGAKU BERSALAH: Andrew Gosling mengaku membaling botol wain dari tingkat tujuh kondominium di Spottiswoode Park Road pada 2019 sehingga menyebabkan kematian Encik Nasiari Sunee, 73 tahun. - Foto fail -

SEORANG warga Australia mengaku di mahkamah daerah semalam bahawa dia telah menyebabkan keretakan pada tengkorak seorang lelaki tua setelah membaling botol wain dari tingkat tujuh kondominium di Spottiswoode Park Road pada 2019.

Andrew Gosling, 49 tahun, mengaku bersalah melakukan tindakan terburu-buru sehingga menyebabkan kematian pemandu lori, Encik Nasiari Sunee, 73 tahun.

Gosling juga mengaku menyebabkan kecederaan teruk ke atas isteri Encik Nasiari, Cik Manisah Sitri, yang luka di bahu kanannya.

Mahkamah diberitahu bahawa Gosling melakukan kesalahan itu apabila dia melihat bahawa orang yang berada di keramaian yang dihadiri Encik Nasiari merupakan orang Melayu/Islam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam, kesalahan Gosling "menunjukkan permusuhan agama terhadap orang Islam".

"Dia lari dari tempat kejadian selepas membaling botol itu untuk mengelak dari dikenal pasti sambil melontarkan kata-kata kurang ajar dan maki hamun bersifat keagamaan tentang orang Islam. Perbuatan Gosling adalah keterlaluan, tidak masuk akal dan menjijikkan," kata AGC, sambil menambah Gosling didapati dalam keadaan mabuk ketika melakukan kesalahan tersebut.

Dia berada di kawasan lif di tingkat tujuh pada sekitar 8.30 malam pada 18 Ogos 2019 apabila dia membaling botol wain itu ke arah sekumpulan orang di kawasan barbeku di tingkat lima.

Encik Nasiari menghadiri majlis anjuran seorang saudaranya apabila botol tersebut terkena kepalanya ketika beliau hendak makan.

Botol itu juga terkena Cik Manisah.

Anak sulung Encik Nasiari, Cik Nas Suriati Nasiari, dalam temu bualnya dengan The Straits Times sebelum ini berkata, saudara-mara mendengar dua dentuman sebelum bapanya rebah di atas lantai dengan luka di kepala. Mereka kemudian ternampak botol kaca berdekatan.

Seorang saudara, yang merupakan seorang jururawat, merawat Encik Nasiari sebelum ambulans membawanya ke Hospital Besar Singapura.

Namun tekanan darah Encik Nasiari junam esok paginya dan beliau meninggal dunia sekitar 9 pagi.

Datuk sembilan cucu itu dikebumikan pada 20 Ogos 2019.

Berikutan kejadian tersebut, polis telah pergi dari rumah ke rumah kondominium 35 tingkat itu untuk mencari suspek.

Gosling yang bekerja dalam industri Teknologi Maklumat telah ditangkap pada 28 Ogos.

Pihak pendakwa telah meminta hukuman penjara tujuh tahun bagi Gosling.

Hukuman telah ditangguhkan kepada 8 April ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg