Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga dapat lihat gambaran seluruh polisi insurans dalam SGFinDex

DPM Wong: S'pura akan labur $150 juta dalam dana baru untuk pupuk inovasi dalam khidmat kewangan
Nov 3, 2022 | 5:30 AM
KIAN CANGGIH: Encik Wong (kanan) semasa mengunjungi beberapa reruai di Festival Fintech Singapura 2022 di Singapore Expo. - Foto ZAOBAO
KIAN CANGGIH: Encik Wong (kanan) semasa mengunjungi beberapa reruai di Festival Fintech Singapura 2022 di Singapore Expo. - Foto ZAOBAO -

RAKYAT Singapura dapat melihat gambaran keseluruhan mengenai polisi insurans mereka merentasi pelbagai syarikat insurans apabila kesemua butiran polisi itu dimasukkan ke Bursa Data Kewangan Singapura (SGFinDex).

Singapura juga akan melabur $150 juta dalam dana baru untuk memupuk inovasi dalam perkhidmatan kewangan, dan seterusnya bergerak ke arah matlamatnya untuk menghapuskan cek korporat menjelang 2025.

Demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semalam dalam ucapan semasa merasmikan Festival Fintech Singapura 2022 di Singapore Expo.

Singapura memperkenalkan perkhidmatan SGFinDex pada Disember 2020 untuk membantu individu dalam perancangan kewangan dengan memberi mereka gambaran keseluruhan maklumat kewangan merentasi bank dan agensi pemerintah.

Ini termasuk butiran pinjaman, deposit dan baki Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.

Perkhidmatan itu boleh diakses oleh individu secara percuma melalui aplikasi bank mereka menggunakan SingPass, yang kemudiannya dipertingkat pada 2021 untuk turut memuatkan peangan pelaburan dari Pusat Depositori.

Individu boleh mendapatkan data daripada pelbagai agensi swasta dan awam, yang semuanya disatukan dalam satu halaman seperti wadah perancangan kewangan bank mereka.

"Penambahan polisi insurans terkini kepada SGFinDex akan membolehkan rakyat Singapura mengenal pasti potensi jurang dalam perlindungan mereka dengan lebih mudah, dan mempunyai pandangan yang lebih menyeluruh tentang kedudukan kewangan mereka," ujar Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

Syarikat insurans dalam perkhidmatan tersebut ialah AIA, AXA, Great Eastern, Income, Manulife, Prudential dan Singlife dengan Aviva.

Dalam ucapannya, Encik Wong turut berkata bahawa teknologi boleh membantu individu menjaga diri mereka dengan lebih baik.

Kini, Singapura juga semakin menghampiri matlamatnya untuk menamatkan penggunaan cek menjelang 2025.

Encik Wong mengumumkan bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan mengeluarkan perundingan awam mengenai beberapa inisiatif bagi menghapuskan semua cek korporat menjelang tahun itu.

"Ini akan membantu mengurangkan sebahagian besar jumlah transaksi cek di Singapura," katanya.

Bahagian cek sebagai bahagian pembayaran dahulu adalah 32 peratus pada 2016, tetapi kini berada pada 7 peratus.

"Pergantungan berterusan pada cek telah mengakibatkan proses perniagaan yang tidak optimum, dan menyumbang kepada kos pembayaran yang agak tinggi kepada ekonomi," kata Encik Wong.

"Antara baki individu yang masih mengguna cek, ialah terutamanya warga emas yang masih tidak selesa dengan e-perbanka dan e-pembayaran. Kita tidak boleh melupakan mereka," tambahnya.

Untuk memastikan perjalanan e-pembayaran Singapura adalah inklusif, landasan akan disediakan untuk individu beralih kepada kaedah pembayaran alternatif.

"Penambahan polisi insurans terkini kepada SGFinDex akan membolehkan rakyat Singapura mengenal pasti potensi jurang dalam perlindungan mereka dengan lebih mudah, dan mempunyai pandangan yang lebih menyeluruh tentang kedudukan kewangan mereka." - Encik Lawrence Wong, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg