Keengganan mendapatkan rawatan disebabkan stigma terhadap kesihatan mental, serta kesukaran meluahkan perasaan merupakan antara cabaran yang masih dihadapi warga emas Melayu/Islam, khususnya apabila berdepan dengan kehilangan insan tersayang.

Menurut pakar, terdapat juga perbezaan antara warga emas lelaki dengan wanita dalam cara mereka mengendali kesedihan dan mendapatkan bantuan.

Perkara itu dikongsi oleh ahli terapi prinsipal di klinik kesihatan dan kesejahteraan mental Private Space Medical, Cik Siti Mariam Mohd Salim; serta Ketua Kejururawatan Rumah Jagaan NTUC Health Tampines, Cik Halijah Jantan, sempena forum, ‘Sembang-Sembang Santunan Emas Siri Keenam’, yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin pada 31 Oktober.

Forum yang menarik lebih 950 pendaftaran itu mengetengahkan tema, ‘Duka dalam Kehilangan: Panduan dan Persiapan Menghadapinya’, dengan perbincangan merangkumi aspek kesihatan, sosial dan kerohanian.

Menurut Cik Siti Mariam, 51 tahun, antara halangan utama adalah kecenderungan sesetengah warga emas untuk menganggap tekanan emosi sebagai sebahagian daripada kehidupan yang perlu ditanggung sendiri.

Ada juga yang tidak mengetahui saluran mendapatkan bantuan atau bimbang masalah peribadi mereka diketahui orang lain.

Beliau menjelaskan terdapat tanggapan bahawa mendapatkan bantuan adalah petanda seseorang itu mempunyai iman yang lemah atau kurang berasa syukur.

Ia sekali gus menyebabkan mereka keberatan mendapatkan sokongan profesional.

Menyentuh tentang perbezaan jantina, beliau berkata wanita lazimnya lebih mudah mengenal pasti dan meluahkan perasaan, manakala lelaki cenderung menangani masalah melalui pemikiran logik atau dengan melakukan kegiatan harian.

Tanggapan bahawa lelaki tidak sepatutnya menangis juga boleh menghalang mereka daripada mengakui kesedihan yang sedang dialami.

Namun, Cik Siti Mariam menekankan bahawa setiap individu memerlukan pendekatan berbeza dan tidak semua orang perlu dipaksa berkongsi perasaan.

“Ada warga emas yang hanya memerlukan teman. Mereka mungkin tidak perlu bercakap tentang masalah yang dihadapi,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesedihan yang berpanjangan sehingga menjejas kehidupan harian mungkin memerlukan bantuan profesional.

Sementara itu, Cik Halijah, 62 tahun, menegaskan kepentingan membina kepercayaan dan menghormati kebebasan warga emas dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan mereka.

Menurutnya, keluarga tidak seharusnya memaksa perubahan secara mendadak, sebaliknya menggalakkan langkah kecil yang boleh diterima warga emas.

Sebagai contoh, pengambilan gula dalam minuman boleh dikurangkan secara bertahap supaya mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan tabiat baharu.

“Usah mengawal kehidupan mereka,” katanya, sambil menekankan pentingnya mendapatkan persetujuan dan melibatkan warga emas dalam setiap keputusan.

Dalam pada itu, mantan Mufti, Ustaz Mohamad Fatris Bakaram berkata kehilangan insan tersayang boleh memberikan kesan mendalam kepada warga emas, khususnya mereka yang telah hidup bersama pasangan selama berpuluh tahun.

Beliau menjelaskan bahawa kesedihan merupakan fitrah manusia dan ajaran Islam tidak melarang seseorang daripada menangis apabila mengalami kehilangan.

Sebaliknya, ahli keluarga perlu memahami bahawa setiap individu melalui proses kedukaan secara berbeza.

Ustaz Fatris turut menyifatkan program Santunan Emas, sebagai wadah penting untuk mengurangkan kesunyian dalam kalangan warga emas.

Menurutnya, ada peserta yang menghadiri program tersebut bukan semata-mata untuk mendapatkan ilmu agama, malah, untuk bertemu rakan lain agar berasa diri mereka sebahagian daripada anggota masyarakat.

Beliau berkata program yang telah berlangsung sekitar 2024 itu menunjukkan keperluan menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada golongan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak masjid dapat memperluaskan khidmat kepada warga emas melalui kerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan, kaunseling dan pertubuhan masyarakat.

Baginya, masjid bukan sekadar tempat beribadah, bahkan perlu menjadi pusat sokongan yang membolehkan warga emas mendapatkan bantuan apabila berdepan dengan cabaran hidup.