Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga emas Eunos kekal aktif melalui pelbagai program senaman
Warga emas Eunos kekal aktif melalui pelbagai program senaman
Warga emas Eunos kekal aktif melalui pelbagai program senaman
Selepas menyaksikan arwah ibunya bergelut untuk melawan demensia sebelum meninggal dunia akibat strok pada 2023, Cik Mariam Sudiro mula menjadikan gaya hidup aktif sebagai keutamaan dalam hidupnya.
Kini, pesara berusia 68 tahun itu aktif menyertai aktiviti seperti tai chi, tarian Bollywood dan chair zumba (zumba sambil duduk di kerusi) sekurang-kurangnya empat kali dalam seminggu.
Beliau adalah antara penduduk yang telah meraih manfaat daripada pelbagai program yang dianjurkan Persatuan Rakyat (PA) di kawasan Eunos untuk menyokong kesihatan warga emas.
Chair zumba merupakan antara tujuh program baharu yang diperkenalkan di Eunos dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, di samping kelas kecergasan dan sesi berjalan, bagi menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan warga emas.
Cik Mariam berkata rutin ini bukan sekadar untuk cergas, tetapi juga sebagai cara untuk menjaga kesihatan mental dan mengelakkan penyakit seperti demensia.
“Saya bersenam empat kali seminggu, saya jaga kesihatan sambil dapat berbuat kawan,” kata Cik Mariam, yang bersara pada usia 55 tahun selepas bekerja sebagai setiausaha.
“Saya selalu ingatkan diri sendiri selepas bersara, saya perlu sentiasa sibuk dan aktif. Saya ada kawan-kawan yang juga ada pelbagai penyakit, jadi saya mahu menua dengan baik, terutama selepas kehilangan ibu saya kepada demensia dan strok pada 2023,” tambah nenek seorang cucu berumur satu tahun itu.
Cik Mariam adalah antara penduduk yang diketengahkan sempena Lawatan Menteri ke Kawasan Eunos pada Sabtu, yang turut dihadiri Menteri Tenaga Manusia yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi, Dr Tan See Leng, serta Penasihat GRC Aljunied, Encik Jagathishwaran Rajo.
Semasa lawatan tersebut, Dr Tan turut berinteraksi dengan penduduk dan menyertai aktiviti chair zumba bersama warga emas di Pusat Kebuayaan Eunos.
Menurut Encik Jagathishwaran, program penuaan aktif di Eunos merupakan sebahagian daripada usaha nasional di bawah Healthier SG untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga emas.
“Di Eunos, kami mempunyai pelbagai aktiviti mingguan untuk warga emas dengan kerjasama rakan masyarakat seperti Good Life Studio, Montfort Care dan PCF Sparkletots. Matlamatnya ialah memastikan mereka kekal aktif, sihat dan berhubung dengan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah bahawa program seperti chair zumba juga direka secara inklusif, termasuk untuk mereka yang menggunakan kerusi roda, selain menggalakkan interaksi antara generasi dan kaum.
Lawatan tersebut turut menampilkan inisiatif kelestarian Eunos Green Fest 2026 yang melibatkan penduduk dalam aktiviti kitar semula dan gaya hidup hijau sebagai sebahagian daripada aspirasi Green Plan 2030.
Dalam pada itu, ketua Parti Pekerja (WP) yang juga antara Anggota Parlimen GRC Aljunied, Encik Pritam Singh, sedang menjalankan lawatan di sekitar kawasan sama apabila beliau bertembung dengan Dr Tan dan Encik Jagathishwaran.
Mereka telah bertegur sapa semasa sedang berinteraksi dengan penduduk di Pusat Makanan 630 Bedok Reservoir Road.
Encik Pritam ketika itu baru sahaja selesai kegiatan berjalan bulanan bersama penduduk di Taman Bedok Reservoir dan sedang bersarapan bersama mereka.
