Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga emas, golongan berisiko digesa dapatkan vaksin penggalak Covid-19

Dec 29, 2024 | 5:27 PM
83 kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 setakat ini jauh lebih rendah berbanding 317 kematian pada 2023 dan 860 pada 2022.
83 kematian yang dikaitkan dengan Covid-19 setakat ini jauh lebih rendah berbanding 317 kematian pada 2023 dan 860 pada 2022. - Foto Fail ST

Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas serta mereka yang berisiko tinggi dijangkiti penyakit, harus mendapatkan vaksin penggalak atau ‘booster’ untuk Covid-19 demi melindungi diri mereka daripada penyakit serius dan kematian, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Kementerian itu berkata demikian berikutan kematian 83 orang akibat penyakit berjangkit tersebut pada 2024. 

Daripada jumlah itu, 78 orang berumur 60 tahun dan ke atas; empat berumur antara 50 hingga 59 tahun; dan seorang berumur 16 tahun atau lebih muda, lapor The Straits Times.

MOH berkata semua empat orang dewasa berumur 50-an tahun yang meninggal dunia mempunyai masalah kesihatan lain dan tiga daripada mereka tidak menerima vaksin penggalak dalam tempoh setahun yang lepas. Status vaksinasi bagi individu keempat, seorang warga asing yang sedang melawat Singapura, tidak diketahui.

Individu muda yang meninggal dunia itu juga mempunyai masalah kesihatan lain dan “tiada sejarah vaksinasi Covid-19”, kata MOH.

83 kematian yang berkaitan dengan Covid-19 pada 2024 setakat ini adalah jauh lebih rendah berbanding 317 kematian pada 2023 dan 860 kematian pada 2022.

Seorang jurucakap MOH berkata, secara keseluruhan, situasi Covid-19 di sini kekal stabil walaupun semasa musim percutian hujung tahun. 

Jumlah jangkitan tertinggi adalah sekitar 26,000 kes seminggu yang berlaku pada Mei, apabila terdapat gelombang jangkitan yang disebabkan oleh varian KP.1/2.

Dalam 11 bulan pertama tahun ini, 108 orang memerlukan rawatan intensif akibat jangkitan Covid-19. Daripada jumlah itu, 80 peratus merupakan warga emas berumur 60 tahun ke atas, katanya.

Jenis Covid-19 yang paling banyak dialami pesakit di Singapura pada masa ini ialah MV.1, yang menyebabkan lebih sepertiga daripada kes yang telah dilaporkan.

Jenis ini adalah keturunan daripada jenis JN.1 – jenis yang menjadi sasaran vaksin Covid-19 terkini yang dilancarkan oleh MOH pada 28 Oktober. Memandangkan hubungan antara kedua-dua varian ini, vaksin tersebut dapat “memberikan perlindungan terhadap MV.1” kata MOH.

Lebih 35,000 orang telah menerima vaksin terkini, di mana 60 peratus daripadanya adalah warga emas. Sekitar 410,000 orang telah menerima vaksinasi terhadap Covid-19 pada 2024. Sebelum 28 Oktober 2024, vaksin yang diberikan adalah untuk melawan varian XBB.1.5.

MOH berkata, kedua-dua vaksin XBB.1.5 dan JN.1 dapat meningkatkan perlindungan terhadap subvarian MV.1, namun vaksin JN.1 mungkin memberikan perlindungan yang lebih baik.

Vaksin Covid-19 kekal percuma dan boleh didapatkan di poliklinik serta sekitar 500 klinik doktor swasta (GP).

Para pakar menggalakkan mereka yang berisiko tinggi supaya mendapatkan suntikan vaksin ‘booster’.

Profesor Ooi Eng Eong, seorang pakar dalam penyakit yang baru muncul di Sekolah Perubatan Duke-NUS, mengesyorkan vaksinasi semula “untuk warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik di mana sebarang jangkitan boleh memburukkan kesihatan”.

Profesor Dale Fisher, seorang perunding kanan penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata orang ramai patut mendapatkan suntikan booster sebelum ke luar negara. Beliau sendiri telah mendapatkan suntikan booster sebelum ke Eropah pada musim sejuk ini.

Profesor Fisher berkata: “Saya divaksin dua minggu sebelum berangkat untuk melindungi diri dan mengurangkan risiko perjalanan saya terjejas. Tiada penyakit selepas dua minggu.”

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong diuji positif untuk Covid-19 pada awal Disember – kali pertama beliau dijangkiti. Walaupun beliau berasa sihat, beliau mengasingkan diri seperti yang disarankan oleh MOH, untuk mengelakkan penularan penyakit.

MOH berkata, individu yang dijangkiti Covid-19 yang perlu keluar rumah harus memakai pelitup dan mengurangkan interaksi sosial.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg