WARGA emas berumur 60 tahun ke atas terus terdedah kepada penyakit teruk jika dijangkiti Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di Parlimen pada Selasa.
Tetapi dalam kalangan golongan ini, kejadian penyakit teruk hingga perlu dimasukkan ke hospital atau memerlukan sokongan oksigen berbeza-beza bergantung kepada status vaksinasi individu.
Encik Ong berkata dalam kalangan warga emas yang tidak diberi vaksin, sekitar 7.5 peratus menghidap penyakit teruk dan terpaksa dimasukkan ke hospital, kata Encik Ong.
"Bagi mereka yang mempunyai perlindungan minimum, iaitu tiga dos vaksin mRNA atau Novavax atau empat dos Sinovac, kadar penyakit teruk adalah sekitar 4 peratus," katanya, menukil data bagi empat bulan pertama 2023.
Bagi mereka yang mempunyai perlindungan minimum dan memastikan vaksinasi mereka dikemas kini, iaitu suntikan terakhir mereka kurang daripada 12 bulan lalu, kejadian penyakit teruk adalah lebih rendah, iaitu 3.4 peratus, kata Encik Ong.
Malangnya, walaupun terdapat pelbagai manfaat vaksinasi, dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun ke atas, kadar mereka yang memastikan vaksinasi mereka dikemas kini telah turun, daripada 58 peratus pada awal tahun, kepada 50 peratus kini, tambahnya.
"Jika trend ini berterusan, daya tahan kita terhadap Covid-19 akan menjadi lemah dengan masa, menjadikan diri kita terdedah kepada virus itu sekali lagi," ujar Encik Ong.
Beliau berkata penurunan dalam kadar vaksinasi itu disebabkan oleh beberapa perkara.
"Pertama, terdapat pemikiran umum dalam kalangan warga emas, bahawa saya jarang keluar rumah dan oleh itu saya tidak perlu mengambil vaksin lagi. Ini tidak digalakkan.
"Varian Omicron semasa sangat menular, dan kami tidak lagi mengenakan sekatan sosial. Jadi, walaupun anda tidak keluar rumah anda, ia boleh mencari jalan ke rumah anda, melalui ahli keluarga yang datang berkunjung atau sesiapa sahaja yang mungkin anda temui," katanya.
Sebab kedua ialah sesetengah warga emas juga bimbang tentang risiko kesan sampingan jika mereka mengambil suntikan vaksin selanjutnya, kata Encik Ong.
Beliau menerangkan, sehingga kini, ratusan juta dos vaksin telah ditadbir di seluruh dunia dan kejadian tindak balas buruk yang teruk adalah sangat rendah di Singapura, iaitu sekitar 7 dalam 100,000 dos dan lebih rendah pada 1 dalam 100,000 dos dengan formulasi mRNA bivalen terkini.
Reaksi buruk yang teruk itu termasuk miokarditis, anafilaksis dan tindak balas alahan yang serius, dengan kebanyakannya pulih selepas rawatan.
"Jika anda tergolong dalam segmen penduduk yang terdedah dan memilih untuk tidak mengambil vaksinasi, terdapat kemungkinan besar anda akan dijangkiti oleh varian Omicron, yang boleh menyebabkan penyakit teruk.
"Jika anda mendapat perlindungan minimum dan memastikan status vaksinasi anda dikemas kini, peluang untuk mendapat penyakit yang teruk akan berkurangan dengan ketara. Risiko tambahan untuk mengalami reaksi buruk yang teruk selepas vaksinasi adalah sangat rendah, terutama dengan formulasi bivalen baru.
"Dalam erti kata lain, manfaat vaksin Covid-19 terus jauh melebihi risiko, dan anda harus memastikan vaksinasi anda dikemas kini," tambah Encik Ong.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg