SEJAK kebelakangan ini, Cik Salbiyah Salamun, 63 tahun, banyak menghabiskan masa antara berada di rumahnya di Geylang Bahru dengan tempat kerjanya di pusat beli-belah Paya Lebar Square.
Pada hujung minggu pula, nenek tujuh cucu yang berumur antara satu dengan 15 tahun yang tinggal sendiri itu meluangkan banyak masa di rumah, kadangkala memenuhi tempahan epok-epok, kuih jongkong dan lain-lain daripada temannya.
Dengan Singapura dijangka perlu menangani 5,000 kes baru jangkitan Covid-19 sehari dalam masa dua minggu, Cik Salbiyah berkata beliau cuba mengurangkan masa yang diluangkannya di luar rumah selain apabila beliau perlu keluar bekerja.
"Memang risau jugalah, jadi saya kena berjaga-jaga walaupun saya sudah divaksinasi.
"Keadaan pun makin teruk, jadi saya setuju apabila pemerintah meminta warga emas untuk kurangkan keluar rumah.
"Saya pun ambil lebih makanan yang berkhasiat dan banyakkan minum air panas untuk bina imun badan," ujar penjual di sebuah gerai makanan itu.
Ketika ditemui di pasar dan pusat makanan Geylang Serai semalam, Cik Salbiyah sedang berbelanja barang makanan beku dan membeli nasi beriani untuk dijamu di rumah.
Tambahnya, beliau biasanya masak sendiri di rumah tetapi singgah ke pusat penjaja itu untuk membeli makanan kerana perlu membeli beberapa barang keperluan di kawasan tersebut.
Jumaat lalu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menggesa warga emas agar mengelakkan daripada makan di pusat penjaja dan membeli makanan untuk dibawa pulang.
Menurut NEA, warga emas khususnya harus mengelak daripada menjamu selera atau bersembang sambil minum di pusat penjaja buat masa ini.
NEA juga menggesa mereka yang mengunjungi pasar dan pusat penjaja agar mematuhi langkah pengurusan selamat (SMM) yang telah dilaksanakan, termasuk mengamalkan jarak selamat, mematuhi saiz kumpulan yang dibenarkan, dan memakai pelitup dengan betul pada setiap masa.
Cik Salbiyah yang mempunyai penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis sejak beberapa tahun lalu, berkata anak-anaknya turut menasihatkannya supaya tidak keluar rumah jika tidak perlu.
Untuk melepaskan rindu dengan cucunya, beliau kadangkala berkunjung ke rumah anaknya.
Namun, mereka meluangkan masa di rumah sahaja dan tidak pergi ke mana-mana.
"Kalau dahulu, apabila saya ke rumah anak, kami ada juga keluar untuk pergi ke rumah seorang lagi anak saya.
"Tapi dengan keadaan Covid-19 sekarang ini, kami tak lagi buat begitu untuk menjaga keselamatan kami juga," ujarnya.
Malah, pengalamannya pernah menjadi kontak rapat dengan orang yang dijangkiti Covid-19 dua kali sebelum ini turut membuatnya lebih berjaga-jaga.
Semasa sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) bagi menangani Covid-19 kelmarin, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung ditanya sama ada terdapat garis masa bagi warga emas menyambung semula kegiatan sosial mereka.
"Ini adalah sementara tapi berapa minggu atau berapa bulan lagi, kami tidak tahu.
"Tapi sekarang masih bukan masanya," ujar Encik Ong yang juga pengerusi bersama pasukan bertindak itu.
"Keadaan pun makin teruk, jadi saya setuju apabila pemerintah meminta warga emas untuk kurangkan keluar rumah...
Kalau dahulu, apabila saya ke rumah anak, kami ada juga keluar untuk pergi ke rumah seorang lagi anak saya.
Tapi dengan keadaan Covid-19 sekarang ini, kami tak lagi buat begitu untuk menjaga keselamatan kami juga." - Cik Salbiyah Salamun, 63 tahun, yang mempunyai penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis dan pernah menjadi kontak rapat individu yang dijangkiti Covid-19 dua kali sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg