SEORANG lelaki warga Malaysia, 39 tahun, telah ditangkap dan 6,400 karton rokok yang tidak dibayar cukai telah dirampas oleh pegawai Kastam Singapura.

Jumlah duti yang dielak lebih daripada $628,000, manakala Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielak lebih daripada $56,000, kata agensi itu dalam satu kenyataan pada Khamis (9 Mac).

Dalam satu operasi yang dijalankan pada Selasa di sekitar Toa Payoh Industrial Park, pegawai-pegawai Kastam Singapura telah melakukan pemeriksaan trak peti sejuk dan menemui rokok-rokok yang diseludup dan disembunyikan dalam bekas ikan beku.

Lelaki itu merupakan pemandu trak tersebut dan telah diberkas. Trak itu turut disita, tambah Kastam Singapura.

Agensi itu memberi amaran bahawa membeli, menjual, menghantar atau menyimpan barangan yang tidak dibayar cukai adalah kesalahan serius di bawah Akta Kastam dan Akta GST. Pesalah boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah duti dan GST yang dielak, dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Kenderaan yang digunakan dalam kesalahan sedemikian juga boleh dirampas.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan atau pengelakan duti kastam atau GST boleh menghubungi talian Kastam Singapura di 1800- 233-0000 atau e-mel customs_intelligence@customs.gov.sg.