TIMBALAN Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata pandemik Covid-19 telah mempercepatkan perubahan struktural termasuk revolusi digital dan penekanan terhadap kemampanan sekitaran tetapi belia Singapura berada dalam kedudukan yang baik untuk meneroka peluang baru ini.
"Pendidikan yang anda terima telah memberi anda asas yang kukuh selain memupuk anda menjadi pelajar yakin sepanjang hayat.
"Dalam dunia yang kerap berubah, pembelajaran sepanjang hayat akan dapat membantu kita sering mengetahui perkara terkini dan relevan," katanya.
Encik Heng telah menggalak warga muda membangunkan dan memperkukuh minat dalam memahami ekonomi dan kewangan yang menurutnya dapat menawarkan asas bernilai bagi pembelajaran sepanjang hayat dan boleh diterapkan kepada masalah dunia sebenar.
Bercakap semasa acara pusingan terakhir Cabaran Pengurusan Ekonomi dan Kewangan Nasional, Encik Heng berkata asas ekonomi dan kewangan boleh diterapkan kepada dasar awam, misalnya bagi menangani perubahan iklim atau demografi yang berubah di Singapura dan secara global.
"Perbincangannya bukan sahaja berbentuk teori tetapi juga boleh menjana hasil lebih baik yang boleh memperbaiki kehidupan berbilion warga di dunia," katanya.
Cabaran ini dianjurkan Persatuan Ekonomi, Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk menarik minat pelajar prapengajian tinggi terhadap ekonomi dan kewangan.
Kini memasuki tahun ke-14, cabaran ini bermula bulan ini dengan dua pusingan sebelumnya yang menguji pengetahuan peserta di peringkat pengajian tinggi tentang ekonomi serta keupayaan mereka menghasilkan video yang menggunakan teori ekonomi dan kewangan kepada topik kehidupan seharian.
Pusingan semalam termasuk satu kajian kes dan segmen pembentangan di mana pasukan diberikan satu jam setengah untuk menghuraikan soalan kes dan satu lagi pusingan menguji pengetahuan am peserta.
Dalam ucapannya, Encik Heng juga menyentuh tentang keprihatinan warga muda mengenai masa depan mereka dengan ketidaktentuan akibat pandemik Covid-19.
"Saya percaya walaupun Covid-19 menutup beberapa pintu, ia juga telah membuka beberapa pintu baru.
"Dunia pasca Covid-19 akan menjadi berbeza daripada yang sebelum ini, tetapi ia tidak kurang menariknya," katanya.
Encik Heng menambah nilai memahami ekonomi melebihi mempersiapkan diri bagi pasaran pekerjaan.
"Saya percaya ekonomi boleh membantu kita membuat pilihan lebih baik bagi diri kita dan masyarakat kita.
"Saya berharap anda akan terus memperkukuh minat anda dalam ekonomi dan kewangan dan menggunakan pengetahuan ini untuk menjadi warga aktif dan membuat perubahan.
"Inilah semangat Singapura Bersama, di mana kita semua boleh memainkan peranan dalam membangunkan masa depan Singapura yang lebih baik," ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg