Warga SG boleh guna kit laksana ujian Covid-19 sendiri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga SG boleh guna kit laksana ujian Covid-19 sendiri

Jun 1, 2021 | 5:30 AM

Warga SG boleh guna kit laksana ujian Covid-19 sendiri

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
UMUM LANGKAH BERJAGA-JAGA: Sidang maya yang diadakan semalam dianggotai (dari kiri) Pengarah Khidmat Perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak; Menteri Kewangan yang juga pengerusi bersama MTF Lawrence Wong; Menteri Perdagangan dan Perusahaan yang juga pengerusi bersama MTF Gan Kim Yong; Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing. - Foto MCI
UMUM LANGKAH BERJAGA-JAGA: Sidang maya yang diadakan semalam dianggotai (dari kiri) Pengarah Khidmat Perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak; Menteri Kewangan yang juga pengerusi bersama MTF Lawrence Wong; Menteri Perdagangan dan Perusahaan yang juga pengerusi bersama MTF Gan Kim Yong; Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, dan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing. - Foto MCI -

WARGA Singapura berpeluang melaksanakan ujian Covid-19 sendiri atau secara DIY tidak lama lagi menggunakan kit ujian yang disediakan di farmasi di sini sedang Singapura mempertingkat usaha mengesan jangkitan virus Covid-19.

Ini merupakan sebahagian strategi meluas Singapura untuk menambah jumlah serta intensiti ujian bagi tujuan mengawal penyebaran virus itu.

Memberi butiran mengenai langkah tersebut dalam satu sidang akhbar yang diadakan secara maya semalam, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata penggunaan kit ujian pantas antigen (ART) DIY tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Singapura untuk menambah jumlah ujian Covid-19 yang dijalankan.

Encik Ong menambah, "strategi ujian pantas dan mudah", merangkumi kit ujian DIY dan ART yang lebih meluas, akan melengkapi ujian swab reaksi rantai polimerase (PCR).

"Anda boleh membelinya dari farmasi dan melakukan ujian itu di rumah sendiri. Ia serupa kit ujian kehamilan, dan anda boleh melaksanakannya sebelum ke kerja dan ini menunjukkan bagaimana penggunaannya lebih fleksibel," ujarnya.

Namun, kit tersebut perlu digunakan mengikut panduan yang diberi serta dalam keadaan yang sesuai, kata pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH), Profesor Madya Kenneth Mak.

Beliau menekankan bahawa kit tersebut lebih sesuai digunakan ke atas mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala bagi tujuan pemantauan dan bukan jika seseorang itu berasa kurang sihat.

"Jika anda berasa kurang sihat, dan mengalami gejala, anda harus berjumpa doktor untuk mendapatkan penilaian yang betul serta menjalani ujian terbaik untuk mendapatkan diagnosis dan memastikan sama ada wujud jangkitan Covid-19, dan ujian ART itu tidak sesuai dalam membuat diagnosis dalam keadaan itu," ujarnya.

Profesor Mak turut menekankan bahawa orang ramai perlu berhati-hati dalam menilai hasil ujian pantas seperti itu kerana ia kurang tepat berbanding ujian PCR.

Untuk itu, hasil ujian ART yang positif perlu disahkan dan beliau menggalakkan orang ramai berjumpa doktor untuk menjalani ujian pengesahan.

Mereka yang mendapati hasil ujian negatif melalui kit ART DIY itu pula masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga, seperti memakai pelitup dan mengamalkan jarak selamat, kerana mereka mungkin berada dalam tempoh inkubasi virus itu dan boleh diuji positif keesokan hari, tambah Profesor Mak.

Sementara itu, anggota isi rumah individu yang dikenakan perintah kuarantin perlu mengasingkan diri di rumah dan mengurangkan interaksi sosial mereka hingga individu tersebut disahkan negatif Covid-19.

Ini merupakan sebahagian daripada langkah memperluas usaha menjejak kontak.

Buat masa kini, kontak terdekat individu yang disahkan positif Covid-19 dikenakan perintah kuarantin dan diasingkan di prasarana kuarantin pemerintah atau di rumah selama 14 hari sejak mereka terdedah kepada individu yang dijangkiti itu.

Menurut Encik Ong, 70 peratus kes Covid-19 yang mempunyai kaitan awal berpunca dari jangkitan isi rumah, namun beliau tidak menetapkan tempoh masa berkaitan kes tersebut.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai langkah yang akan diambil untuk menguatkuasakan pengasingan diri kontak terdekat kes Covid-19, Profesor Mak berkata mereka akan menerima SMS dan sama ada mereka boleh mengasingkan diri di rumah bergantung kepada keadaan mereka, katanya.

COVID-19 DI S'PURA - 31 MEI

JUMLAH KES BARU: 23

DALAM MASYARAKAT: 16 (Tiada kaitan: 3) (Kaitan kes awal: 13)

DIIMPORT: 7

DI DORMITORI: 0

JUMLAH KEMATIAN: 33

JUMLAH KES KESELURUHAN: 62,051 (Hingga 12 tengah hari semalam)

  1. Laporan terkini kes Covid-19 setempat di www.BH.sg
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg